Friday, September 4, 2009

Kisah saudara kita...

Penduduk Uighur tidak digalak berpuasa


URUMQI: Pihak berkuasa di wilayah Xinjiang didakwa mengeluarkan notis tidak menggalakkan pekerja Uighur berpuasa di bulan Ramadan.

Langkah juga didakwa diambil pihak berkuasa di wilayah yang menempatkan penduduk Islam etnik Uighur untuk memaksa mereka tidak mematuhi amalan agama ketika Ramadan.

"Makanan tengah hari, teh dan kopi percuma yang disifatkan pihak berkuasa sebagai 'sagu hati daripada kerajaan' atau elaun sara hidup ditawarkan dalam jabatan dan syarikat tempatan.

"Bagaimanapun, ia sebenarnya satu usaha mengenal pasti siapa yang berpuasa," kata Dilxat Raxit, jurucakap Kongres Dunia Uighur kepada The Epoch Times.

Dilxat berkata, pekerja Parti Komunis Uighur di seluruh Xinjiang dipaksa menandatangani surat aku janji tidak berpuasa atau melaksanakan aktiviti agama lain. Mereka juga mengenakan dasar itu di kawasan bertugas dan berhadapan dengan hukuman.

Buat pertama kali, operasi berkenaan diperluas kepada ahli Parti Komunis bersara. Pekerja sedia ada dikehendaki melawat mereka untuk menggalakkan mereka tidak berpuasa. Pemilik restoran juga didakwa diarah membuka perniagaan ketika Ramadan atau lesen perniagaan dibatalkan. - Agensi

Dipetik dari Berita Harian 4 Sept 2009.

* Satu lagi ujian dan cabaran buat umat Islam. Betapa besarnya kebencian orang2 kafir kepada umat Islam sehingga sanggup berbuat apa saja demi menjauhkan umat Islam dari pegangan agama. Semoga Allah memberikan kekuatan dan keteguhan kepada saudara-saudara kita di sana untuk berpegang pada ajaran agama yang suci ini.



Wednesday, July 29, 2009

KEPADA APA / SIAPA ANDA BERTAWAKKAL?

Diceritakan oleh Abbas As Sissi, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin yang ke 3;

"Setelah aku mendapat diploma dari Sekolah Menengah Teknik pada tahun 1939, aku berangkat menuju ke Kaherah untuk mencari kerja. Aku pergi menemui al fadhilah mursyid am Hassan al Banna r.a di markas Am Ikhwan di Al-Hilmiyah Jadidah. Setelah beliau mengalu-alukan kedatanganku, beliau bertanyakan sebab-sebab kehadiranku ke kota Keherah itu.

Aku menjawab : Untuk mencari kerja
Beliau berkata : Tidakkah kau terfikir untuk bekerja secara sukarela di SekolahTeknik/Mekanik Peperangan?
Aku menjawab : Sesungguhnya keluarnya aku dari sekolah teknik ini adalah semata-mata untuk membebaskan aku dari perkhidmatan tentera
Beliau berkata : Akan tetapi risalah kita mewajibkan kita berkhidmat di dalam jurusan ini (jurusan ketenteraan)
Aku menjawab : Itu tidak ada halangan, tetapi aku tidak akan berjaya di dalam pemeriksaan doktor kerana sebelah dari mataku kabur (rabun)
Beliau berkata : Bertawakkallah kepada Allah S.W.T supaya berjaya
Aku menjawab : Bagaimana aku akan berjaya di dalam pemeriksaan doktor padahal mataku dalam keadaan yang demikian
Beliau berkata : Justeru kerana itulah aku berkata: bertawakkallah kepada Allah kerana jika matamu sejahtera, kamu akan bertawakkal kepada matamu

Pengertian ini benar-benar menggongcang kewibawaanku sekaligus aku merasakan iman yang baru menyelinap ke dalam perasaanku. Aku berangkat menuju Sekolah Teknik Peperangan di Al-Abbasiyyah dengan bertawakkal kepada Allah S.W.T. Kami diiringi oleh seorang pegawai tentera menuju rumah sakit tentera dan bertawakkal sepenuhnya kepada Allah, berserah sebulat-bulatnya kepadaNya dengan harapan mendapat kejayaan. Setelah melalui pemeriksaan doktor secukupnya, aku termasuk di kalangan orang-orang yang berjaya di dalam pemeriksaan doktor itu.

Dengan itu bertawakkal kepada Allah terus menerus menjadi satu hakikat yang menolong aku di dalam berbagai-bagai peristiwa di dalam hidupku. Ia merupakan satu akidah yang menemaniku di dalam segala medan, di dalam segala peristiwa dan pendirian yang susah yang kulalui. Aku mengingatinya dengan penuh mendalam dan penuh kepercayaan. Ia memenuhi jiwaku dengan harapan, ketenangan, kesabaran dan ketahanan.

Inilah dari apa yang telah kami fahami dari Hassan Al Banna tentang hakikat tawakkal samalah sepertimana yang telah difahami oleh kaum muslimin angkatan pertama. Bahawasanya tawakkal itu ialah berusaha bersungguh-sungguh menurut batas-batas kemampuan manusia kemudian menyerahkan tadbir itu kepada Allah S.W.T yang menjadi kunci kepada segala kebaikan, segala berkat, serta pemeliharaan dan perlindungan dari segala kejahatan"

Lantas, kepada siapa/apa anda bertawakkal?

Dipetik dari buku Dakwah dan Tarbiyah : Pandangan Hassan Al Banna karangan Abbas As Sissi

Thursday, May 21, 2009

Pertanyaan demi pertanyaan...

Satu ketika di rumah...Add Image
"Ummi, kenapa hari hujan?"
"Emm.. Allah nak bagi pokok minum, lembu minum. Allah turunkanlah hujan.."

"Ummi, kenapa hari dah malam?"
"Sebab Allah nak adik rehat, tidur. Nanti kalau dah rehat barulah adik jadi kuat, boleh main lagi"
"Ooo"

"Ummi, kenapa miau tu takde kawan. Dia sorang-sorang je.." (Sambil menunjukkan riak sedih)
"Oo. Kawan dia pergi cari makanan kat dia kot. Sat lagi dia balik la.."

Satu ketika di dalam kereta..

"Ummi, kenapa bendang tu ada air"
"Sebab pokok tu nak hidup dia kenalah minum air dalam bendang tu. Macam umar jugak. Nak minum air.."
"Ooo.."

"Ummi, kenapa yang batang tu (yang dimaksudkan adalah tiang lampu) duk kat tepi bendang tu? Yang lain-lain kat atas.. (yang dimaksudkan adalah atas batas tepi jalan)"
"Sebab kat tempat tu banyak batu, keras. Tak bolehlah pasang tiang lampu kat situ. Kenalah cucuk kat tepi bendang tu sebab situ lembut"
"Ooo kat atas tu keras ye ummi.."
"Aah"

"Ummi, kenapa pakcik tu bawak kereta tu (yang dimaksudkan adalah kubota)"
"Oo. Pakcik tu nak tanam padi. Kereta tu nama dia kubota. Pakcik tu guna kubota tu untuk tanam padi kat bendang"

"Ummi, ummi tengok toknek tu. Kenapa toknek tu duk kat situ"
"Ooo. Dia nak ambil pokok tebu tu. Tu nampak tak pokok tebu banyak"
"Pokok tebu sampai hujung sana kan ummi?"
"Haaah"

Anak-anak yang sedang membesar memang banyak bertanya. Kadang-kadang terpaksa berfikir macam mana nak menjawab mengikut kadar akal fikiran mereka supaya mereka boleh memahami.

Yang pasti, cubalah melayan pertanyaan anak-anak sebaik mungkin. Anak-anak suka bertanya kerana mereka sedang belajar mengenai kehidupan di sekeliling mereka..

(Teringat iklan Petronas tentang anak yang bertanya soalan yang sama pada ayahnya berkali-kali...)

Wednesday, April 8, 2009

Ulam Raja


Sudah beberapa kali saya menikmati hasil ulam raja yang ditanam di belakang rumah. Sungguh sedap dan membangkitkan selera apabila makan nasi dengan ulam raja dicicah sambal belacan. Cukup dengan sedikit kuah dan ikan goreng. Tak perlu lauk pauk yang mewah dan complicated!
Lebih istimewa apabila memakan hasil tanaman sendiri. Semacam ada satu perasaan yang berbeza daripada memakan sayuran yang dibeli.

Benar! Manusia akan merasai suatu perasaan dan semangat yang berbeza apabila menikmati hasil daripada usaha sendiri. Walaupun terpaksa bersusah payah, (sebenarnya nak tanam ulam tu bukannya susah sangat, cuma perlukan sedikit usaha dan kerajinan) namun itulah yang menjadi pembakar dan pendorong pada manusia untuk berusaha apabila manusia menyedari akan kepuasan menikmati hasilnya.

Apa yang anda tanam hari ini, hasilnya akan anda rasai pada hari esok.

Ungkapan di atas menyentuh hati saya. Kenapa? Kerana ia berkait rapat dengan kehidupan manusia. Rupa-rupanya fitrah manusia, mereka akan merasa puas, bangga dan tinggi harga diri apabila berusaha untuk menyara sendiri kehidupannya, tanpa meminta-minta atau bergantung pada orang lain. Manusia juga akan merasa tenang dan bahagia seandainya dapat melaksanakan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah di bahunya. Dan Islam datang bersama fitrah ini. Islam sangat mementingkan umatnya berusaha untuk menyara hidupnya dan keluarganya.

"Maka apabila telah selesai solat, bertebaranlah kamu di bumi ini, carilah rezeki kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung" (Al-Jumu'ah:10)

Dalam apa keadaan sekalipun, orang yang paling banyak mengingati Allah, dan paling hampir dengan Allah, itulah orang-orang yang beruntung!

Abu Abdullah (Az-Zubair) bin Al-Awwam r.a. berkata, Rasulullah SA.W. bersabda:
"Demi sekiranya salah seorang kamu membawa tali dan pergi ke bukit untuk mencari kayu, kemudian dipikul ke pasar untuk dijual, dan dapat dengan itu menutup air mukanya, maka yang demikian itu lebih baik daripada meminta-minta pada orang, baik mereka memberi atau menolak padanya" (Bukhari)

Samada kamu seorang ayah yang menyara keluarga, seorang ibu yang berkerjaya atau surirumah sepenuh masa, seorang anak yang berbakti kepada orang tua, seorang pelajar di menara, seorang doktor atau mandur, seorang juruwang atau pekerja kilang, seorang pensyarah atau pesawah, seorang guru atau tukang sapu, seorang peniaga atau pekerja biasa, berusahalah untuk melaksanakan segala tanggungjawabmu dengan sebaik-baiknya. Kerana disitulah letaknya kemuliaan dan kebahagiaan. Di situlah adanya ketenangan dan kebanggaan. Hati yang bahagia dan tenang adalah hati yang melaksanakan perintah Tuhan. Kerana manusia yang berwawasan bukan hanya memandang habuan dunia, namun lebih jauh lagi dia mengimpikan ganjaran di akhirat sana.

" Sungguh, hari kiamat itu akan datang. Aku merahsiakan (waktunya) agar setiap orang dibalas sesuai dengan apa yang telah dia usahakan" (Taha:15)

Wednesday, April 1, 2009

Berpindah sudah engkau ke alam baru... Kami pasti menyusulmu..

Terkedu dan terkejutnya saya bila Poji pulang dari kedai mak dengan membawa berita..

"Kak Long anak makcik Gayah meninggal."

"Hah! Ayu? Anak Mak Cik Gayah gerai?" Saya meminta kepastian. Seperti tidak percaya dengan khabar itu..

"Ha ah!" Poji mengiyakan

"Innalillah wa inna ilaihirojiun!. Sakit apa?" Saya seakan-akan belum dapat menerima dengan lapang dada

"Sakit urat macam mak"

{Sakit urat. Atau nama saintifiknya yang selalu saya baca di laporan kesihatan mak; vericos vein. Ia adalah sejenis penyakit yang mana urat-urat kaki yang menjadi laluan mengangkut darah gagal berfungsi dengan sempurna. Aliran darah di dalam urat kaki sepatutnya mengalir turun dan naik kembali dalam satu pusingan. Bila urat ini gagal berfungsi atau sudah rosak, darah hanya boleh mengalir turun tetapi tidak mengalir ke atas semula. Ia menyebabkan darah berkumpul di bahagian bawah kaki menyebabkan urat menjadi bengkak dan lama-kelamaan akan pecah memancutkan darah jika ia sudah tidak boleh menampung bebanan darah yang terkumpul. Ia selalunya menyerang orang yang banyak berdiri seperti orang yang berniaga di kedai makan, tukang jahit dan pekerja kilang. Itulah sebabnya doktor selalu menasihatkan mereka ini tidur dengan meninggikan kedudukan kaki (kaki dialas dengan bantal yang tinggi) supaya darah dapat dialirkan semula ke atas dengan baik.}

Saya memang terkejut. Benar-benar terkejut. Mak Cik Gayah sebenarnya tidak ada pertalian darah dengan saya. Semasa menunggu keputusan SPM dan semasa saya belajar di UUM dulu, setiap kali cuti semester, saya bekerja di gerai Mak Cik Gayah untuk mencari wang saku. Malah kakak saya Kak Nana, sepupu saya Kak De dan akhawat, Kak Nani dan Dianah pernah saya bawa bekerja di sini. Gerai Mak Cik Gayah terletak di belakang stesen BhP (dulu BP) di Bandar Tun Razak ini, menjual nasi ayam dan masakan panas dan beroperasi lebih kurang jam 2 petang hingga 11 malam. Hubungan sekeluarga kami agak mesra, bukan sahaja dengan Mak Cik Gayah, malah dengan Pak Cik Md Nor dan juga anak-anaknya Ayu, Angah, Rastam, Kak Cik dan Adik. Dulu kami sekeluarga selalu berkunjung ke rumahnya di hari raya, cuma sejak saya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana, mendirikan rumahtangga dan hingga sekarang setelah saya berpindah ke Kedah, saya tidak lagi berhubung dengan mereka. Hanya terserempak sekali-sekala.


Anak Mak Cik Gayah yang meninggal ini, Rahayu, adalah anak sulung, dan dia sebaya saya! Kematiannya sungguh mengejutkan saya kerana Ayu seorang yang sihat, aktif dan ceria. Tidak saya sangka, perjalanan hidupnya di dunia ini berakhir di usia yang muda, seusia dengan saya!

Ya.. Tak Sangka! Tiada siapa yang dapat menyangka dan menjangka bilakah saat catatan terakhir malaikat raqib dan atid mencatat buku amalan di kiri kanan kita. Tiada siapa dapat meneka saat terakhir kembara kita di bumi Allah yang fana ini, walaupun setiap dari kita meyakini mati itu sesuatu yang pasti.

Kita takut bila memikirkan kesakitan sakaratul maut. Namun sewajarnya kita lebih takut seandainya dijemput menghadap Ilahi dalam keadaan berbuat dosa, maksiat atau sesuatu yang tidak diredhai. Sungguh, betapa perlunya meletakkan pengharapan yang besar pada Allah saat melontarkan doa:

"Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah, dan janganlah kau matikan kami dalam keadaan su'ul khatimah"

Mengharap Allah mematikan kita dalam husnul khatimah, dan takut dan bimbang jika Allah mematikan kita dalam su'ul khatimah

Penuh pengharapan dan ketakutan!

Teringat pemergian Ummu Syahidah ke Kudat, Sabah. Perginya, insyaAllah boleh bertemu lagi. Namun pemergian Rahayu, perginya dia tidak mungkin akan kembali lagi!

Al-Fatihah...

Sunday, March 29, 2009

Selamat Jalan Ummu Syahidah!

Mengunjungi hari sukan Tadika Tasneem semalam rupa-rupanya mengundang air mata. Betapa tidak, semalam saya bertemu dengan Ummu Syahidah buat kali terakhir sebelum beliau berangkat ke Kudat, Sabah untuk menyusuli suaminya Akhi Zahari yang posting ke sana selepas tamat KPLI. Walaupun penerbangan Ummu Syahidah bersama anak-anaknya, Syahidah dan Naufal dijadualkan berlepas pada 3 April nanti, saya tidak ada peluang lain untuk bertemunya kerana hari ini saya akan ke rumah mertua di Pulau Pinang sebelum ke rumah mak di KL pada pagi Isnin memandangkan suami saya Akhi Fahmi akan memeriksa kertas peperiksaan akhir matrik (pelajar dua tahun -PDT) di K.L selama 5 hari.

Saya mula mengenali Ummu Syahidah semasa belajar di UUM lebih kurang 8 tahun yang lalu. Perkenalan yang terjalin ketika kami sama-sama terkesan dengan perjuangan dakwah ISMA mempunyai nilai yang sangat signifikan dalam hidup saya. Dalam pelbagai kecelaruan dan kerosakan yang berlaku di tengah-tengah masyarakat Islam, kami seolah-olah bertemu dengan sebutir permata yang bersinar dan berharga dalam ISMA. Permata yang sinarannya menyuluh hidup kami, sehingga kami merasakan telah menemui matlamat hidup kami, seperti kami baru dilahirkan sebagai muslim!

Ummu Syahidah yang saya kenal mempunyai kesabaran dan semangat yang tinggi. Masakan saya boleh melupakan kekentalan dan keteguhan hatinya mengusahakan perniagaan keropok lekor bersama Akhi Zahari suatu ketika dulu. Masih terbayang di mata saya bagaimana Syahidah ketika kecilnya mengalirkan airmata tanpa suara sewaktu hendak tidur kerana terpaksa ditinggalkan bersama akhawat di Tadika Tasneem Changlun ketika Ummu Syahidah dan Akhi Zahari mengikuti kursus membuat keropok di Terengganu (atau mungkin di Kelantan, saya kurang pasti). Moga Syahidah menjadi sekuat ummi dan abi ye nak!.

Walaupun kami hanya bertemu kembali 10 bulan yang lalu setelah saya berpindah ke Kedah (sebelum ini saya tinggal di Perak selama 6 tahun), namun kemesraan dan perasaan ukhuwwah itu masih sama dan segar seperti dulu. Mudah-mudahan itulah natijah dari perhubungan yang dibina kerana Allah. Dan semalam menjadi saksi betapa saya begitu pilu dan hiba semasa bersalam dan berpelukan dengan beliau. Tiada kata-kata yang dapat diungkapkan hanya air mata yang membasahi pipi dan menghangatkan jiwa kami. Seperti baru semalam kami bersama-sama berjuang dan bekerja di atas jalan dakwah ini.

Selamat jalan wahai sahabatku Ummu Syahidah. Seungguhnya setiap ketentuan Allah itu ada hikmah yang besar di sebaliknya. Semoga anti sekeluarga diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan suci ini sehingga denyut nadi dan nafas kita terhenti, sehingga kita kembali ke sisi Ilahi. Sesungguhnya daku mengasihi dan mencintaimu kerana Allah, dan semoga dengan itu kita akan beroleh kecintaan Allah

"Kecintaan-Ku pasti jatuh pada orangorang yang saling mencintai, saling duduk bersama, saling berkunjung kerana Aku " (HR Ath Thabrani)

Tiada doa yang dapat ku panjatkan buatmu melainkan doa ini ;

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana kecintaan kami kepada-Mu, bertemu untuk mematuhi perintah-Mu, bersatu dalam menyeru-Mu. Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk menolong syariat-Mu. Maka eratkanlah ikatan hati-hati ini. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini. Tunjukilah kepada hati-hati ini akan jalannya yang sebenar. Penuhilah hati-hati ini dengan cahaya-Mu yang tidak kunjung malap. Ya Allah, lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman/keyakinan dan keindahan tawakkal kepada-Mu. Jika Engkau mentaqdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai syuhada' di atas jalan-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada pemimpin kami Muhammad, keluarga dan sahabatnya. Amin, amin, amin, Ya Rabbal Alamin.."

Tuesday, March 24, 2009

Kawan lelaki, roti canai dan Hari Raya


ROTI CANAI

Abah memang pandai memasak. Waktu saya kecil-kecil saya paling suka bila abah tebar roti canai, tinggi dan saya nampak macam melayang-layang bila ditebar. Roti canai abah lembut, gebu dan berbau wangi. Apabila sudah masak dan diangkat dari kuali ia akan ditepuk-tepuk, dilatakkan dalam pinggan dan... Emm...Sedapnya bila dimakan panas-panas dan dicicah dengan gula..


KAWAN LELAKI

Di zaman kanak-kanak, anak-anak jiran yang sebaya saya kesemuanya lelaki. Biasanya pada waktu petang saya akan mengikut mereka bermain rounders, baling selipar, galah panjang, tarik tin (tin milo yang besar itu diisi pasir atau batu dan diikat tali dihujung kedua-dua belah tin kemudian ditarik jadi ia akan bergolek dan mengeluarkan bunyi bising) atau police entry. Kadang-kadang sampai main nyorok-nyorok dalam longkang besar berdekatan sekolah Jalan Cheras yang terletak di depan kawasan rumah kami.

Satu hari, saya bermain hingga menjelang waktu maghrib. Pulang ke rumah, abah menegur saya kerana bermain dengan budak-budak lelaki. Agghh, satu lagi 'cubitan playa' singgah di badan saya. Sakitnya hingga terjingkit kaki saya menahan pedih.


HARI RAYA

Satu pagi, sewaktu saya berumur 7 atau 8 tahun, di hari raya aidilfitri, abah bersiap-siap untuk ke masjid. Kalau tidak silap saya, mak ada di wad kerana menghidap penyakit vericos vein (urat-urat kaki timbul dan pecah kerana aliran darah tidak smooth akibat terlalu banyak berdiri. Biasa menyerang orang yang selalu bekerja dengan berdiri atau menggunakan kaki seperti peniaga, pekerja kilang atau tukang jahit). Sebelum ke masijd, abah memanggil saya dan adik Poji.

"Mari kita makan dulu. Sunat kita jamah makanan sikit sebelum solat sunat hari raya. Kalau hari raya haji sunat kita pergi solat terus"

"Ooo. Macam tu" Saya berkata-kata di dalam hati.

Monday, March 23, 2009

PESTA BUKU!

SURAU, TUDUNG DAN FADHILAT SOLAT



SURAU

Semasa kecil saya selalu mengikut abah ke surau. Seingat saya setiap kali waktu solat abah akan ke surau di kawasan rumah kami. Adakalanya abah menjadi imam. Saya selalu mengikut abah bersolat tetapi saya duduk di saf belakang. Saya mengangkat takbir, dan kemudian sibuk membaca 'Pss,sss,sss, psss", sebab itulah bacaan yang saya selalu dengar bila abah membaca dengan perlahan.


TUDUNG

Saya disuruh oleh abah memakai tudung sewaktu saya belum memasuki alam persekolahan. Saya ikut dan saya jaga, sebab abah sangat rigid tentangnya. Ada sekali tu, seingat saya semasa saya berumur 5 atau 6 tahun, saya terjatuh di kedai mak dan saya sibuk memegang tudung bimbang terlucut, tiba-tiba ada sesorang berkata sambil ketawa, " La, kepala bertudung, kaki terbuka". Baru saya perasan, rupa-rupanya kain baju kurung saya tercabut..

Sewaktu saya memasuki darjah satu, saya satu-satunya murid yang memakai tudung di dalam kelas saya. Saya masih ingat itu kerana gambar kelas saya terpampang di dalam suratkhabar kerana kami terpaksa menumpang di kantin pada hari pertama persekolahan kerana tidak cukup bilik darjah. Zaman itu, tidak ramai yang memakai baju kurung ke sekolah (kebanyakannya memakai baju 'skirt'). Saya tidak mempunyai baju 'skirt' dan baju 'skirt' seragam sekolah yang dibeli oleh Aicu (adik bongsu mak), abah tidak benarkan saya memakainya. (Abah saya telah mengoyaknya!)



"Marilah kita amalkan dan sampaikan kepada yang tidak hadir"


Abah selalu mengadakan 'taalim' di rumah. Antara yang saya ingat abah selalu membacakan fadhilat solat kepada kami. Saya memang tekun mendengar apatah lagi ada hadith-hadit yang membicarakan soal azab di dalam kubur bagi orang yang meninggalkan solat. Semasa abah membacakan buku tersebut, saya terbayang-bayangkan ular-ular yang besar yang akan memakan manusia di dalam kubur, dan ianya sungguh menakutkan saya.

"Baiklah. Itulah saja untuk hari ini. Apa yang kita dah dengar hari ini marilah sama-sama kita amalkan dan sampaikan kepada yang tidak hadir. Kita tutup dulu dengan tasbih kaffarah dan suratul Asr"

Itulah kata-kata penutup abah setiap malam.

Friday, March 20, 2009

DUHAI HATI...


Ikhlas..
Begitu mudah diucap,
Sungguh sukar dikecap,
Umpama mencari semut hitam,
Di atas batu yang hitam,
Di malam yang gelap pekat..

Tidak diterima Allah,
Melainkan amal yang ikhlas...
Duhai hati ku yang berbolak balik,
Tetaplah kamu di atas kebenaran
Yang riak, yang ujub,
Menjauhlah...
Yang takbur, yang sohor,
Melenyaplah
Jangan kau singgahi nurani ini
Jangan kau cemari hati sanubari
Jangan kau kotori amal suci

Aku rindukan jiwa yang murni,
Yang tulus, yang kudus...
Yang menghamba,
hanya pada Yang Esa...

Wednesday, March 18, 2009

WARNA-WARNA KEHIDUPAN


Saya mempunyai 4 orang adik-beradik. Di zaman kanak-kanak, saya paling rapat dengan adik saya,Poji. Abang dan kakak saya bersekolah di kampung kami di Pahang, jadi Pojilah yang menjadi kawan menangis dan ketawa.

Saya dan Poji berbeza umur 2 tahun. Jadi, kami sempat bersekolah rendah bersama-sama. Kami ke sekolah menaiki bas sekolah, yang kami panggil bas Abang Ji. Ada satu peristiwa yang saya tidak boleh lupa berkaitan Poji sewaktu kami di SKBTR 2. Satu ketika saya perasan ada seorang lelaki bermotor yang selalu mengekori kami semasa kami menunggu bas untuk pulang dari sekolah. Saya perasan sebab lelaki itu pernah menegur Poji dan mengajaknya menaiki motor tetapi Poji menolak. Hal ini saya adukan pada mak saya dan beliau meminta kami berhati-hati.

Kemuncak peristiwa itu, satu hari lelaki itu mengekori bas kami sehingga ke rumah. Sewaktu kami turun dari bas, saya perasan lelaki itu ada di belakang kami. Kami terus berlari ke kedai (rumah kami adalah rumah kedai, kedai di tingkat bawah, rumah di tingkat atas), sambil menjerit memberitahu perkara itu kepada mak. Mak yang terkejut segera memberitahu Pak Cu, pakcik saya yang kebetulan berada di kedai. Kami melihat lelaki itu berjalan ke arah pondok telefon awam berhampiran kedai kami. Pakcik saya terus mengejar lelaki tersebut namun tidak berjaya kerana lelaki itu sedar dan terus melarikan diri.

Alhamdulillah, selepas peristiwa itu kelibat lelaki itu tiada lagi dan kami merasa aman untuk ke sekolah. Namun sehingga sekarang saya tidak tahu siapa sebenarnya lelaki muda itu. wallahua'lam...

Nasi Lemak! Siapa nak order Nasi Lemak!


Saya bukan nak mengiklan jualan nasi lemak.. Cuma nak berkongsi cerita tentang jualan nasi lemak saya semasa saya bersekolah di SK Bandar Tun Razak 2, Cheras, 15 tahun yang lalu.

Mak saya mempunyai kedai makan di Taman Selera Muda, K.L, menjual makanan untuk sarapan seperti nasi lemak, pulut, roti canai, bihun goreng, me goreng, lontong dan juga nasi berlauk. Mak berniaga dari pagi sehingga malam. Kadang-kadang saya terbangun jam 4 pagi, dan saya sedih bila melihat mak sudah berada di dapur menyiapkan semua itu. Kalau saya tidak merasa mengantuk, saya akan membantu mak memotong timun, mengupas kulit telur atau apa-apa kerja yang mudah sebelum saya tidur semula.

Saya tidak ingat bagaimana perniagaan saya bermula. Tetapi yang saya ingat saya menjual nasi lemak kepada kawan-kawan sekolah. Setiap hari sebelum pulang saya akan mengambil pesanan dari kawan-kawan yang ingin membeli nasi lemak, ada yang ingin lauk telur, ayam goreng, sambal sotong, sambal kerang dan sebagainya. Saya begitu gembira kerana pesanan kawan-kawan makin hari makin bertambah.

Sejak saya mula berniaga, saya bangun lebih awal untuk membantu mak membungkus nasi lemak yang dipesan oleh kawan-kawan. Dan setiap hari jugalah saya akan ke sekolah menggalas beg sekolah dan dua beg plastik yang besar berisi 20-30 bungkus nasi lemak. Sampai di kelas saya akan mengagihkan nasi lemak yang telah ditulis label mengikut jenis lauknya, kepada kawan-kawan saya berdasarkan senarai pesanan yang saya ada. Saya sungguh gembira menerima wang bayaran dari kawan-kawan. Pernah sekali setelah turun dari bas, sewaktu sedang berjalan ke sekolah, saya terjatuh, beg plastik itu terkoyak dan bertaburanlah bungkusan nasi lemak yang saya bawa terkeluar dari beg plastik tersebut. Hmm, saya tidak ingat ada atau tidak nasi lemak yang terkeluar dari bungkusannya tetapi saya masih ingat bagaimana saya terpaksa mengutip semula bungkusan-bungkusan tersebut untuk dimasukkan ke dalam beg sekolah saya.

Satu hari saya dipanggil oleh guru, dan saya dilarang menjual nasi lemak lagi. Saya mendapat tahu pihak kantin mengadu pada pihak sekolah. Saya sedih, tetapi apa boleh buat, rezeki saya di sekolah hanya terhenti di situ..

Manusia mempunyai cerita kehidupannya yang berbeza-beza, namun semua itu diatur oleh Allah Yang Maha Bijaksana. Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil pada hamba-hamba-Nya.

"Segala puji bagi Allah Pencipta langit dan bumi, yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan (untuk mengurus berbagai macam urusan) yang mempunyai sayap masing-masing (ada yang) dua, tiga dan empat. Allah menambahkan pada ciptaany-Nya apa yang Dia kehendaki. Sungguh, Allah MahaKuasa atas segala sesuatu.

Apa saja di antara rahmat Allah yang dianugerahkan kepada manusia, maka tidak ada yang dapat menahannya, dan apa saja yang ditahan-Nya maka tidak ada yang sanggup untuk melepaskannya setelah itu. Dan Dialah yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana"
(Fathir, 1-2)

Tuesday, March 17, 2009

Mengaji...


Semasa zaman kanak-kanak, Saya dan Poji belajar mengaji dengan seorang ustazah (saya terlupa namanya, namun wajahnya masih kekal di memori saya), yang mana rumahnya terletak lebih kurang setengah km dari rumah kami. Selalunya untuk ke sana, kami perlu melalui sebatang pokok yang besar (saya rasa pokok ara) yang terletak di belakang rumah kami kerana itulah laluan pintas (shortcut) yang boleh kami ambil. Jarak pokok itu dengan rumah kami kira-kira 50 meter. Pokok itu terletak berdekatan dengan stor DBKL dan yang menakutkan kami ianya menjadi tempat penyembahan pekerja DBKL yang berbangsa india. Tambah menyeramkan keadaan pokok itu yang mempunyai jurai-jurai ranting (saya tak pasti ianya ranting atau apa kerana ianya lembut dan terjurai ke bawah), dan tersusun kotak penyembahan, colok dan beberapa makanan seperti limau dan apam.

Perjalanan pergi tidak menjadi masalah kerana biasanya kami pergi selepas waktu asar. Namun perjalanan pulang menjadi sesuatu yang menyeramkan kerana kami pulang menjelang waktu maghrib dan laluan tersebut agak sunyi. Walaupun kami tidak pernah terserempak dengan apa-apa kejadian yang tidak diingini, kami agak takut kerana kami biasa mendengar jiran-jiran dan pekerja-pekerja DBKL yang selalu makan di kedai mak bercerita tentang pelbagi cerita yang tidak seronok untuk didengar. Sementelah, kami tahu tempat tersebut adalah tempat 'memuja syaitan' dan waktu maghrib adalah waktu syaitan berkeliaran.

Apa yang saya dan Poji buat, semasa pulang, selalunya kami akan berzikir LailahaillALLah bersama-sama dengan suara yang kuat. Bila tiba hampir dengan kawasan pokok tersebut, (saya agak dalam 10-15 langkah), kami akan berhenti, menanggalkan selipar dan berpimpin tangan. Setelah sama-sama mengira 1,2,3, kamipun memecut lari sambil melaungkan azan sekuat-kuatnya dengan harapan syaitan akan lari dan tidak menganggu kami..

Kenangan itu masih terbayang-bayang dalam ingatan saya....

Sunday, March 15, 2009

Buku biodata, Kuil dan Salib

BUKU BIODATA

Saya tulis dengan menyorok-nyorok. Buku biodata kawan saya itu, saya sudah lupa siapa namanya, perlu saya pulangkan dalam keadaan lengkap bertulis. Entah macam mana abah boleh perasan dan boleh terbaca buku tu..

Alamak...

"Kenapa tulis artis pujaan ni... Manusia mana boleh kita puja. Kita hanya puja Allah..." Abah menegur secara bersahaja, namun amat terkesan di hati saya.

Zaman saya kecil-kecil dulu, kami selalu ada buku biodata, di mana dalam buku tu akan tertulis segala yang berkaitan dengan diri kita dan kawan-kawan kita, contohnya nama penuh, alamat, tarikh lahir, makanan kegemaran, warna kegemaran, hobi, cita-cita, dan tak ketinggalan artis/pelakon yang diminati. Itulah yang menjadi sumber rujukan untuk berhubung dalam suasana telefon bimbit dan internet masih belum wujud...

Tidak terlintas di hati saya abah akan menegur tulisan saya... Namun itulah abah, ketegasannya dalam soal akidah dan didikan agama membekas di hati saya. Kami adik-beradik tidak berani membuka tv, apatah menontonnya jika abah ada di rumah. Pernah satu ketika, sedang saya leka menonton tv, tiba-tiba abah pulang... Ahh.. Kesan 'cubitan playar'nya mengambil masa seminggu untuk hilang..


KUIL


Setiap kali kami pulang ke kampung, kami perlu melalui sebuah kuil hindu di tepi jalan berdekatan kampung kami. Kuil itu agak besar, dan penuh dengan patung-patung yang menghiasinya...

'LailahaillaLLah, LailahaillaLLah, LailahaillaLLAh. La ma'bud illaLLah." Itulah yang abah ajarkan pada kami untuk dilafazkan setiap kali lori abah melalui hadapan kuil itu... Saya pun tidak pasti adakah sebutan saya betul sepertimana yang diajarkan oleh abah....


SALIB


Satu ketika, saya dan Poji mengikut abah pulang ke kampung. Kami duduk di kerusi bahagian hadapan lori abah. Entah macam mana, dalam saya dan Poji bermain-main dan bergurau, saya meletakkan tangan kanan saya di bahu kanan dan kiri saya, sambil menyebut 'kiri,kanan, kiri, kanan', berulang-ulang.

Tidak semena-mena, abah memberhentikan lori di bahu jalan, mencari ranting kayu, memarahi sambil menghadiahkan saya sebilas rotan.. Dalam keadaan terpinga-pinga, barulah saya tahu, apa yang saya buat tadi seakan-akan menyerupai gerakan orang-orang kristian menyentuh bahu kanan dan kiri mereka untuk membentuk salib seperimana yang selalu mereka lakukan ketika masuk ke gereja. Ah... apalah yang saya tahu ketika itu, seingat saya umur saya baru mencecah 6 atau 7 tahun...

Abah... ada tangisan mengalir dalam hati, ada rindu bergetar dalam jiwa..

Abah...

Thursday, March 12, 2009

Alangkah baiknya jika...


Alangkah baiknya jika ibubapaku mengizinkan aku ke belajar luar negara, sudah tentu aku sekarang menjadi orang yang berjaya... Alangkah baiknya jika keluargaku tidak begini, sudah tentu aku membesar sebagai seorang yang lebih baik dari sekarang... Alangkah baiknya jika aku mengahwini orang yang begini dan begini, sudah tentu aku lebih bahagia... Kalau aku buat begitu dan begitu, sudah tentu kesannya tidak seperti apa yang berlaku sekarang...

Perasaan tidak berpuas hati dengan apa yang ada pada masa sekarang, menyesali masa lalu dan takut pada masa depan adalah salah satu faktor kegelisahan dan ketidaktenteraman yang melanda diri seseorang. Seolah-olah dialah yang lebih berhak dan lebih bijak dalam menentukan dan mengatur perjalanan kehidupannya. Seolah-olah apa yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku dalam hidupnya, dia yang lebih tahu baik-buruknya, putih-hitamnya...
Seolah-olah dia adalah Tuhan! Manusia hanyalah makhluk yang lemah dan kerdil yang cuma mampu merencana, Allah jualah yang akan menentukan segala-galanya. Allah bukan sekadar sebagai Khalik (Pencipta), tetapi juga Pengatur dan Pemelihara perjalanan kehidupan makhluknya, samaada manusia mahupun alam semesta.

"Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daunpun yang gugur melainkan DIa mengetahuinya, dan tidak jatuh sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh) (Al-An'am:59)


Manusia yang memahami perkara ini tidak akan mahu hidup menggendong kenangan, tidak akan kecewa dan berputus asa terhadap ketentuan Allah kerana dia yakin Allah Maha Bijaksana dan Maha Adil terhadap makhluknya. Ia bukanlah pula bermakna dia berpeluk tubuh, menyerahkan segala-galanya pada Yang Esa tanpa berusaha membina kehidupan yang sempurna. Manusia tetap perlu berusaha, tetapi keyakinannya bukan pada jerih perih usahanya, bukan pada penat lelah kerjanya, tetapi pada keadilan dan kebijaksanaan Allah dalam menentukan apa yang terbaik untuknya..

Let go and let God. Berusaha bersungguh-sungguh, dan serahkan pada Allah dalam menentukannya..
Seperti ungkapan penyair zaman dulu:

Apa yang telah berlaku, sudah berlalu, Yang diharapkan pula masih ghaib, Yang kamu ada ialah masa kini Sesungguhnya slogan mukmin sentiasa: "Ketentuan Allah, apa yang Dia mahu, Dia buat, Alhamdulillah atas segala keadaan"

Tuesday, March 10, 2009

Mak....


Teruja bila menerima panggilan telefon mak pagi tadi.

"Long datang makan kat kedai semalam." Emak memulakan cerita. Saya tahu, Long tidak selalu berpeluang datang ke kedai mak untuk makan. Selalu saja sibuk dengan kerjanya disamping construction company nya sendiri.. Begitulah Long, abang sulung dan satu-satunya abang saya. Seorang yang sangat komited dengan kerja... Emm.. Semalam cuti maulidurrasul, mungkin tidak ada beban kerja, so Long berpeluang datang ke kedai makan mak..

"Mak tak payahlah berniaga lagi. Duduk rumah je." Ini bukan kali pertama Long berkata begitu pada mak. Mak yang tak mahu. "Kalau mak tak berniaga, mak nak buat apa kat rumah. Nanti mak masuk wad, sakit sebab banyak sangat berehat dan tak buat apa-apa"

Itulah mak.. Mak yang sedari kecilnya membesar dalam keperitan dan kepayahan, membanting tulang membantu arwah wan (nenek saya sebelah mak) mencari rezeki untuk menyekolahkan adik-adiknya. Bukan mak tak pandai. Mak seorang yang pintar, semasa bersekolah mak biasa mengambil upah menulis buku, menyiapkan kerja sekolah rakan-rakannya. Malah, mak pernah mendapat tawaran menjadi guru di kampung kerana potensi yang ada pada mak. Tapi, mak lebih memikirkan adik-adiknya. Biarlah mak berkorban, memberi laluan pada adik-adiknya meneruskan persekolahan sementara mak membantu mencari wang perbelanjaan..

Semakin mak menginjak dewasa, mak terus tabah. Mengikut "Aiwa" (pakcik sulung sebelah mak) berhijrah ke Kuala Lumpur, mak, Aiwa, Aindak (pakcik keenam sebelah mak) dan Aicu (pakcik bongsu sebelah mak) mencari rezeki dengan menjual nasi lemak. Itulah kepakaran mak. Memasak! Mak memang pandai memasak dan semasa mudanya pernah memenangi pertandingan memasak peringkat negeri Pahang. Mak bukan sahaja pandai memasak, mak juga minat dan suka meningkatkan kemahiran memasaknya. Maklah yang akan memasak masakan pengantin untuk saya dan Kak Nana, juga untuk kesemua anak-anak saudaranya seperti Kak Long Raha, Kak Ngah, Kak De, Tam, (kesemuanya anak Mak Tam) Abang Teh, Nor,(anak Mak Ngah) yang telah berumahtangga. Mak bukan sahaja pandai memasak, malah mak sangat berbakat dalam menghias masakannya. Tak pernah saya terfikir mak boleh membuat kelopak bunga daripada buah kismis yang dicucuk pada dawai dan digubah menjadi sejambak bunga yang cantik.

Dan semalam, mak masih tidak mahu berhenti dari "kesibukannya".

"Mak tak mahu berhenti berniaga. Pul hantar mak pergi haji" Itulah keputusan mak bila Long menyuruh mak berhenti berniaga dan memberi mak sejumlah wang (yang agak besar nilainya).

Saya tahu itulah impian mak sekarang. Terus saja saya membuka laman web Ustaz Halim, mencari nombor yang boleh dihubungi untuk mendapatkan maklumat mengenai pakej haji kelolaannya.

Ya Allah, Kau tunaikanlah hasrat ibuku Ya Allah. Permudahkan segala urusannya...

Selamat Hari Lahir Salina!




Hari ini, 10 Mac 2009 genap 3 tahun umur anak kedua saya, Salina Syakirah. Seperti baru semalam bergelut dan bertarung nyawa melahirkan Salina di pusat bersalin Bandar Tun Razak, tanah kelahiran umminya... Salina lahir pada hari Jumaat, jam 6 petang. Mengulangi saat kelahiran abangnya, Umar Ubaidah, pagi 10 Mac 2006 itu sedikit darah keluar memberi petanda saatnya sudah tiba untuk Salina meninggalkan alam rahim dan memasuki alam dunia. Mengambil kira pengalaman melahirkan Umar sebelum ini, saya tidak terus ke klinik. Saya mempersiapkan mental, selain memastikan kembali isi kandungan beg keperluan bersalin untuk diri saya sendiri dan anak yang bakal lahir yang sudah disediakan lebih awal.

Saya ke klinik menjelang tengahari, dan diminta terus admit ke wad. Saya menolak dan meminta tangguh selepas Solat Jumaat. Memandangkan rasa sakit belum begitu kuat, saya, suami dan Umar makan tengahari di restoran Mak Siti di depan klinik tersebut. Jauh di sudut hati, saya tidak putus-putus berdoa agar proses melahirkan dipermudahkan. Saya perlu makan agar saya mempunyai tenaga dalam 'pertarungan' nanti.

Selepas makan, kami pulang ke rumah mak. Suami saya ke masjid untuk solat Jumaat, dan saya sudah menelefon adik, Poji untuk memaklumkan berita tersebut memandangkan bantuannya amat diperlukan untuk menjaga Umar semasa saya berada di wad nanti. Umar agak rapat dengan PakItamnya itu.. So, rasanya takde masalah untuk Pak Itamnya memujuk Umar...

Selepas solat Jumaat, saya ke klinik. Sementara menanti saat melahirkan saya tak putus-putus berdoa dan membaca Al--Quran. Selain kekuatan mental dan fizikal, kekuatan rohani juga sangat penting pada saat-saat begini. Rasa seperti tidak mahu terputus hubungan dari Allah walau sesaat pun.

Dan Alhamdulillah, Salina lahir dengan selamat walaupun mukanya kebiruan kerana sedikit tersekat semasa proses kelahiran. Tiada kata-kata yang terkeluar melainkan air mata dan ucapan syukur kepada ALLAH...

Hari ini, genap tiga tahun saat itu berlalu. Dan, Salina kian membesar sebagai seorang anak yang kuat dan tabah dengan penyakit ekzima yang dihadapinya. Ekzima adalah sejenis penyakit kulit, yang mana kulitnya alah pada banyak perkara, makanan, cuaca dan persekitaran. So, dia perlu berpantang dalam soal makanan, tidak boleh minum susu lembu kerana alah pada protien haiwan, hanya boleh minum susu soya. Tidak boleh makan makanan laut seperti udang, kerang dan sotong. Sensitif pada cuaca panas, habuk dan sabun yang tinggi kandungan bahan kimianya... Semasa di Perak dahulu, sebulan sekali perlu mengadap doktor pakar di hospital Ipoh dan diberi bekalan ubat-ubatan yang bukan sedikit.

Alhamdulillah, penyakit ini semakin berkurangan walaupun belum hilang sepenuhnya. Semoga anak Ummi ini menjadi manusia yang kuat, sabar, dan tinggi iman dan taqwanya, berbakti pada ibubapa, agama, bangsa dan negara.

Selamat Hari Lahir Salina! Selamat pada hari-hari yang mendatang!

Thursday, March 5, 2009

Nabi Muhammad S.A.W

"Ok, sekarang baca doa tidur. BismikaLLahumma ahya wa amut...." Sambil saya menuturkan doa tersebut, umar dan salina akan mengikut saya menuturkannya. Lantas Salina akan meminta saya bercerita.

"Umi, nak cerita Nabi Muhammad". Itu ayat yang biasanya akan menyusuli doa tidur yang dibaca.

"Ok.. Nabi Muhammad kan, orang yang soleh. Masa dia dalam perut umi dia, abi dia sakit. Lepas tu abi dia meninggal dunia. Emm siapa nama abi dia?" Saya bertanya

"Abdullah" Umar biasanya akan menjawab dulu.

"Hmm.. Abi dia nama Abdullah. Lepas tu Nabi Muhammad pun lahir. Lepas tu umi dia pulak sakit."

" Siapa nama umi dia" Kali ini Salina pulak yang bertanya

"Aminah" Umar dan Salina sama-sama menjawab...

"Lepas umi dia meninggal, Nabi Muhammad duduk dengan wan dia..Nama wan dia Abdul Muthalib. Wan dia sayang sangat nabi Muhammab. Lepas tu wan dia pun meninggal. Nabi Muhammad duduk pulak dengan pakcik dia nama Abu Thalib. Pakcik dia sayang sangat nabi Muhammad sebab Nabi Muhammad soleh, suka tolong pakcik dia berniaga." Saya cuba bercerita dengan nada yang sesuai.

"Satu hari Nabi Muhammad naik bukit. Sebab Nabi Muhammad sedih tengok ramai orang tak soleh, sembah patung. Nabi Muhammad pun naiklah bukit, pergi kat gua. Gua tu nama dia Gua Hira'. Tiba-tiba malaikat Jibrail datang. Dia peluk nabi Muhammad. Dia suruh nabi Muhammad baca. Iqra!"

Umar paling suka bahagian ni. Selalunya dia yang akan menyambung cerita sehingga Jibrail menyuruh Nabi Muhammad membaca pada kali yang ketiga.

Begitulah rutin saya dan anak-anak hampir setiap malam. Kadang-kadang diselang selikan dengan cerita Nabi Yusuf, Nabi Sulaiman atau cerita Umar si pejuang kecil di bumi Palestin. Kadang-kadang, mereka yang akan bercerita pada saya dengan mengulang kembali skrip yang selalu saya lafazkan pada mereka. Harapan saya, semoga cerita-cerita ini menjadi pembakar semangat dan contoh ikutan anak-anak saya dalam menempuh kehidupannya...

Eee... Malunya..


"Umar... Keluar bilik air terus pakai tuala. Ee.. malunya nampak aurat dia.." Volume suara saya masih sama.. Saya cuba berkata-kata selembut mungkin, namun kali ini perkataan "ee..malunya" saya tekankan sedikit... Saya benar-benar mahu dia faham bahawa menampakkan aurat pada orang lain adalah sesuatu yang memalukan... Malah, sudah sering saya didik supaya Umar dan adiknya Salina tidak mandi sekali. Namun, pujukan saya kadang-kadang menjadi, kadang-kadang tidak. "Nak mandi ngan adik jugak" Umar merengek-rengek... Hmm.. "Ok. Umar dan adik nak mandi kena pakai seluar. Tutup aurat" Itu yang mampu saya buat setakat ini...

Mengajar anak-anak tentang sifat malu bukan saja memerlukan kesabaran, lebih dari itu ia adalah pendidikan melalui perbuatan. Nak mendidik anak-anak bersifat malu, ibubapa terlebih dahulu perlu mendidik diri sendiri berakhlak dengan akhlak malu, menunjukkan contoh yang baik di depan anak-anak.

Islam sangat menitikberatkan soal malu dan menjaga kehormatan diri. Anak-anak lelaki dan perempuan sedari kecil perlu diajar bahawa antara lelaki dan perempuan ada batas-batas dalam pergaulan. Saya teringat kata-kata seorang ikhwah semasa satu program di Perak dahulu. " Satu hari anak saya yang berumur 4 tahun tidak mahu lagi ke tadika kerana sehari sebelumnya dia perlu mandi bersama-sama pelajar lelaki di tadika tersebut." Wah! Begitu kagum dan insafnya saya. Anaknya masih mentah, sekecil 4 tahun, tapi sudak begitu kental dan komited dengan didikan ibuayahnya... Sudah pasti didikan tersebut bukan dibuat secara sambil lewa, tetapi diajar dengan penuh kesedaran dan berhikmah, hingga ia begitu meresap ke dalam jiwa anak tersebut.

Cerita itu meninggalkan kesan pada diri saya... Ya Allah, semoga saya diberi kekuatan untuk mendidik anak-anak mengikut sibghah-Mu... Moga saya dapat mencorakkan anak saya mengikut acuan yang Kau inginkan...

Saya selalu teringat kata-kata seseorang, nak didik anak-anak bersifat malu, kalau dia buat apa-apa yang mengaibkan, jangan kata " ee.. tak malu"... Seolah-olah kita mendoakan anak kita menjadi seorang yang tiada perasaan malu. Tapi katalah "Eee.. malu" Supaya mengingatkan kita dan dia bahawa apa yang diperbuatnya itu sesuatu yang memalukan, dan dia perlu rasa malu jika melakukannya....

Yang paling susah, nak didik diri dan didik anak-anak malu kerana Allah...

Tuesday, February 24, 2009




INDAHNYA ALAM CIPTAAN ALLAH...

"Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi, Yang menciptakan,lalu menyempurnakan(penciptaannya), Yang menentukan kadar (masing-masing) dan memberi petunjuk, dan Yang menumbuhkan rerumputan, lalu dijadikannya (rumput-rumput) itu kering kehitam-hitaman. Kami akan bacakan (Al-Quran) kepadamu (Muhammad) sehingga engkau tidak lupa, kecuali jika Allah menghendaki. Sungguh, Dia mengetahui yang terang dan yang tersembunyi"..
(Al-A'la : 1-7)


Subhanallah. Allah adalah sebaik-baik Pencipta.. Lihatlah gambar-gambar ini, cuba hayati keindahannya... Tiada kata-kata dapat menggambarkan betapa indahnya alam ciptaan Ilahi.. Subhanallah.. Subhanallah.. Subhanallah

Monday, February 23, 2009

Jom RFC!




Semalam saya sekeluarga ke Radix Fried Chicken (RFC) yang terletak di stesen bas Shahab Perdana, Alor Setar. Restoran makanan segera yang baru beroperasi itu adalah merupakan restoran dua tingkat lot tepi (corner lot). Menggunakan warna oren sebagai corporate colour merupakan pilihan yang tepat kerana ia warna yang terang dan senang menarik perhatian, tambahan pula ia terletak berdekatan laluan masuk ke perhentian bas tersebut...Sebelum ini kami pernah melalui kawasan tersebut dan mendapati restoran itu dipenuhi pelanggan yang sedang beratur untuk membeli, dan barisan mereka mencecah hingga ke pintu... Wah! Hebat sungguh sambutan masyarakat setempat terhadap RFC ni...

Saya begitu teruja untuk makan di sini buat kali pertama. Ini adalah restoran makan segera yang dimiliki oleh orang Islam, dan insyaAllah saya yakin produk yang ditawarkan dihasilkan sendiri oleh HPA seperti ayam dan air minuman. Ia merupakan satu alternatif bagi orang Islam yang sensitif dengan persoalan makanan, bukan setakat soal halal haram malah juga yang melibatkan soal wang yang dibelanjakan tersebut tidak digunakan untuk 'membunuh' saudara seIslam seperti yang berlaku di Palestin.

Sebaik keluar dari kereta (Alhamdulillah kami berjaya 'parking' betul-betul di tepi restoran), saya tertarik dengan design luar RFC. Moto restoran iaitu 'Segar, Organik, Halal' adalah perkara pertama yang saya lihat di dindingnya. Emm, moto yang menarik... Menjejakkan kaki ke dalam
restoran, saya melihat terdapat 4 kaunter dibuka, dan setiap kaunter dibarisi tidak kurang lapan hingga sepuluh orang pelanggan. Sementara menunggu suami beratur untuk membeli, saya ke tingkat atas bersama anak-anak. Ruang makan di tingkat atas agak luas dengan susun atur kerusi meja dan 'interior design' yang menarik'..

Sebaik menjamah makanan yang dipesan, saya menarik nafas lega. Bersyukur pada Allah, sebenarnya umat Islam mampu untuk memberikan perkhidmatan yang dan menawarkan produk yang berkualiti jika mereka bersungguh-sungguh. Malah dalam beberepa aspek, mereka prestasi mereka lebih baik dari orang lain...

Datanglah ke RFC, dan teruslah memboikot produk-produk Yahudi dan Amerika!!

Friday, February 20, 2009

Mukmin yang kuat itu...

Pagi tadi buat kali keduanya saya bersama-sama beberapa orang sahabat ISMA yang lain meneruskan program tai-ci kami di Taman Pulai Jaya, Alor Setar. Senaman yang menggunakan gerakan yang lembut dan lemah gemalai ini dibimbing oleh Datin Siti Hajar. Walaupun kesan sakit-sakit kaki akibat senaman kali pertama pada Jumaat lepas baru saja hilang, ia tidak melemahkan semangat untuk meneruskan senaman ini. Pengalaman berjinak-jinak dengan senaman ini merupakan satu pengalaman yang menarik memandangkan selama ini saya hanya berpeluang melihat sahaja orang lain melakukannya. Semasa tinggal di Perak sebelum ini, saya kerap melihat sekumpulan warga emas keturunan cina disertai beberapa orang makcik keturunan melayu melakukan senaman ini di padang permainan berdekatan tadika tempat Umar dan Salina belajar. Walaupun gerakannya lembut, ironinya sehari selepas saya melakukan senaman ini kali pertama, saya hampir tidak boleh rukuk dengan sempurna kerana rasa sakit di bahagian kaki. Begitu sekali kesan senaman ini!

Dan pagi tadi, berbekalkan kesedaran untuk memelihara kesihatan, dan demi menyahut pesan Rasulullah S.A.W untuk menjadi mukmin yang kuat, saya bertai-cin buat kesekian kalinya. Kali ini, saya lebih bersungguh-sungguh memerhatikan gerakan Datin Siti Hajar. Di setiap nafas yang dihela, terasa betapa berharganya hirupan udara segar kurniaan Allah kepada manusia. Dan setiap kali saya menarik nafas, saya berdoa moga Allah memberi kesihatan yang baik dan memberi kekuatan kepada saya untuk menjadi hamba Allah yang bersyukur dan menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain.

Selepas selesai senaman, Bija dan Aisyah meneruskan misi kesihatan mereka dengan mengayuh basikal mengelilingi taman. Sempat saya berseloroh di dalam kereta, alangkah seronoknya mereka dapat memanfaatkan waktu bujang mereka, berbanding kami yang telah memiliki 'extra baggage'. Hasrat kami yang sudah berumahtangga ini untuk berbasikal seperti mereka memerlukan pengorbanan pasangan masing-masing untuk menjadi baby-sitter. Ia bukanlah satu masalah bagi yang mempunyai 'extra baggage bersaiz besar', yang boleh berjalan dan berlari di atas kaki sendiri.

Pesan Rasulullah S.A.W, rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara,

Masa muda sebelum masa tua,
Masa sihat sebelum datang sakit,
Masa lapang sebelum waktu sibuk,
Masa kaya sebelum jatuh miskin,
Masa hidup sebelum datang ajal...

Sunday, February 15, 2009

Muhasabah diri

Dua-tiga minggu lepas dalam perjalanan kami sekeluarga pulang ke Kedah dari Kuala Lumpur, banyak kereta melalui lebuhraya utara selatan. Melihat kereta yang tak putus-putus, terfikir betapa selagi nyawa masih dikandung badan, selagi nadi masih berdenyut, manusia sentiasa sibuk ke sana kemari dengan pelbagai urusan yang tidak pernah habis. Memandang ke lebuhraya, ada yang ingin ke utara, ada yang ingin ke selatan. Masing-masing menuju ke destinasi masing-masing. Namun dalam kesibukan tersebut, kita sering lupa bahawa sesungguhnya setiap dari kita dalam perjalanan menuju Allah S.W.T. Walau di mana kita berada, di timur, barat, utara atau selatan, kita semua sedang menuju destinasi yang satu, iaitu menuju kepada Pencipta kita, Allah S.W.T. Setiap detik berlalu, semakin hampir kita dengan Tuhan. Setiap nafas dihela, makin dekat kita dengan penghujung usia. Tiap hari bermula, makin bertambah usia kita dan makin sedikit umur kita bersisa.

Tuhan, andai ku tahu, kapan tiba ajalku, akan kumohon, ambillah nyawaku dalam keadaan ku beriman dan bertaqwa pada-Mu. Ya Rahman Ya Rahim, aku takut akan semua dosa-dosaku, justeru Kau ampunilah kesalahanku. Sesungguhnya ya Allah, hamba-Mu ini terlalu kerdil dan lemah dalam mengharungi kehidupan di dunia yang fana ini... Berilah kekuatan, petunjuk dan hidayah padaku untuk mentaati segala perintah-Mu ya Allah...

Kematian itu pasti.... Lantas, bersedialah wahai diri!

"Wahai orang-orang yang beriman. Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan"
( Al-Hasyr:18)

Monday, February 9, 2009





Anak-anak itu, penyejuk hatiku...

Alhamdulillah petang semalam kami (my hubby and me) meracun rumput-rumput di laman rumah yang dah panjang, projek yang dah tertangguh beberapa hari. Sambil-sambil tu monitor juga salina yang sibuk 'memandu kereta' biru dia kat depan rumah tu. Umar pulak nampak seronok betul sebab semalam first time dia main bola dengan anak-anak jiran kat depan rumah. Sebelum ni kalau suruh dia join anak-anak jiran tu dia tak pergi, tengok je budak-budak tu main. Tapi semalam nampak ceria dan bersemangat dia main ngan depa walaupun depa semua lebih tua dari dia. Nampaknya anak Umi ni dah makin besar, sedikit demi sedikit Umar perlu pelajar untuk berkawan dan berhubungan dengan insan-insan lain di sekeliling.

Malam tu pulak ada meeting Pembina. Mulanya teragak-agak juga nak pergi sebab anak-anak baru tidur. Takut meragam pulak kat meeting nanti. Tapi teringat pulak dengan pesan Kak Ju. Akhawat memang tak boleh lari dari tanggungjawab dakwah, walau macam mana sibuk pun kita dengan urusan rumahtangga dan urusan kerjaya. Siapa lagi nak diharapkan untuk meneruskan usaha ini kalau bukan insan-insan yang mempunyai kefahaman dan kesedaran tentang tanggungjawab ini. Kefahaman dan keyakinan sepatutnya melahirkan tindakan. So, dengan berbekal keyakinan dan doa semoga Allah permudahkan, pergilah juga meeting tu. Sampai je kat sana, Salina terus nangis sebab angkat dia dari tidur. Mula-mula perlahan je, lama-lama makin tinggi 'volume'nya. Terpaksalah bawa dia masuk bilik. Puas nak pujuk dia. bila pegang dia dia marah tak bagi pegang, bila duduk jauh pun dia menjerit lagi kuat. Lastly, duduk je tepi dia, tengok je dia nangis, sambil-sambil tu belek-belek buku seerah yang ada kat dalam bilik tu.. Lama juga nak tunggu dia berhenti nangis.. Bila masuk bilik air ambil wudhuk, barulah dia sebut 'nak umi, nak umi..', dan nadanya tangisannya dah berubah....

Sebenarnya mendidik anak-anak memang memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Kadang-kadang tindakan dan perlakuan anak-anak tak mampu kita duga. Dalam banyak keadaan, kecenderungan untuk ibubapa naik marah memang ada. Dan antara pesan Rasulullah S.A.W pada kita, bila kita marah, kita perlu usahakan untuk bertenang. Kalau sedang berdiri, kita duduk. Kalau duduk pun masih marah juga, kita baring. Ambil wudhuk dan beristighfar juga mampu menenangkan diri kita.

Anak-anak umi, mudah-mudah Allah merahmati hidup kalian, dan memberi kesabaran yang tinggi pada umi untuk mendidik kalian menjadi hamba Allah yang soleh, yang berbakti kepada ibubapa, agama dan bangsa..

Sunday, February 8, 2009

Langkah Bermula

Alhamdulillah, setinggi syukur kehadrat Ilahi kerana hasrat untuk mewujudkan blog ini dipermudahkan. Hasrat untuk memiliki blog sendiri sudah lama terpendam, namun atas faktor kekurangan kemahiran dan kesungguhan, ianya terbiar begitu sahaja. Sementelah lagi kemahiran menulis amat terbatas, namun minat yang ada menjadi penggerak untuk melakar seseuatu di dalam blog ini.

Walau apapun yang kita lakukan di bumi Allah ini, sesungguhnya, setiap amal bermula dengan niat. Apalah lagi niat yang paling mulia dan suci bagi sesuatu amal melainkan melakukan sesuatu semata-mata untuk meraih keredhaan Allah. Semoga blog ini menjadi wasilah yang baik untukku menyeru diri sendiri dan orang lain ke arah kebaikan. InsyaAllah.