Sunday, September 26, 2010

DUHAI MATA, ENGKAU MENANGIS LAGI...

Hari ini mata ini menangis lagi... Begitu setia ia bekerja saat emosi menghantar isyaratnya... Engkau memang tidak pernah alpa wahai mata, mengalirkan deruan perasaan empunya diri..
Duhai mata, menangislah dikau saat aku takutkan Tuhanku.. Duhai mata, alirkanlah deruan perasaanku saat daku terkenangkan dosa-dosaku yang tidak mengurang... Duhai mata, biarlah engkau menjadi saksi betapa aku menangisi kesukaranku membangun diri menjadi insan yang dekat dengan Tuhan.. Duhai mata, semoga engkau menjadi air yang akan memadam panas dan seksa api neraka... Duhai mata, tertutuplah engkau sebagai mata yang dipunyai oleh insan yang bersih hatinya. Duhai mata, terbukalah engkau melihat kebenaran Tuhan...

Thursday, September 23, 2010

SIAPA SAHABAT ANDA

Sebelum saya melangkahkan kaki ke universiti, seingat saya, kadang-kadang sahaja saya membaca makna apabila sahaja membaca Al-Quran. Boleh dihitung dengan jari.. Membaca Al-Quran sekadar membaca, mengharap pahala dan keberkatan dari membaca Al-Quran. Sejak kecil, saya, malah anda semua, dekat dengan Al-Quran. Semasa di sekolah menengah (saya bukan bersekolah di sekolah agama), saya pernah mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan musabaqah dan sudah beberapa kali khatam Al-Quran. Malah saya sangat suka, tenang dan damai apabila mendengar bacaan Al-Quran. Masih teringat guru Geografi saya, Cikgu Nik Hassan yang suka membaca Surah Ar-Rahman apabila mengimamkan solat di asrama sekolah kami. Saya memang suka mendengarnya, mendayu-dayu dan menyentuh perasaan, walaupun saya tidak faham apa maknanya.

Setelah mendapat keputusan SPM, saya memohon untuk memasuki universiti. Menurut nasihat guru-guru, pilihan pertama saya adalah UUM memandangkan saya berhasrat melanjutkan pelajaran di bidang perakaunan. Dalam dabaran menunggu panggilan, hari-hari yang saya lalui saya panjatkan doa yang bersungguh-sungguh..

"Ya Allah, makbulkanlah permohonanku untuk memasuki universiti. Ya Allah di sana nanti kurniakanlah daku sahabat yang baik"

Itulah doa saya sehari-hari, penuh pengharapan.. Sungguh, hati saya begitu mengharapkan sahabat-sahabat yang baik yang boleh membimbing saya..

Benar, Allah mendengar doa saya. Saya memohon agar dapat melanjutkan pelajaran, Allah memberi saya universiti pilihan pertama saya, UUM. Saya memohon dikurniakan sahabat yang baik, Allah yang mempertemukan saya dengan sahabat yang soleh. SubhanALlah! AlhamduliLlah!

Dan yang paling penting, saya bertemu sahabat terbaik saya, Al-Quran!

Di bumi UUM inilah saya mula memahami bahawa Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi paling utama ia perlu diamalkan dalam kehidupan. Membaca Al-Quran untuk mengamalkan. Membaca Al-Quran untuk diaplikasikan dan direalisasikan dalam kehidupan. Ia bukan sekadar bait-bait kalimah yang mendayu-dayu, menusuk hati dan membelai jiwa. Al-Quran adalah nadi manusia. Tanpa Al-Quran, manusia adalah jasad-jasad yang bergerak tanpa roh walaupun mereka bernyawa.

Saya pasti setiap dari kita pernah merasakan, betapa saat hati kita resah, gelisah, apa yang dibuat serba tak kena. Kita sendiri tidak tahu apa punca dan sebabnya. Marilah kita sama-sama semak semula, bila kali terakhir kita membaca Al-Quran? Bila kali terakhir kita membaca Al-Quran sehingga ia mampu menyentuh hati kita saat kita membacanya?

Bertanyalah pada diri sendiri...

Tuesday, January 5, 2010

Tahun baru, tahun lalu...

Antara nikmat yang selalu dilupakan oleh manusia ialah nikmat waktu lapang dan nikmat kesihatan. Di waktu lapang, kita tidak sedar masa berlalu begitu sahaja, sedangkan ia boleh diisi dengan amal-amal yang berfaedah, yang akan memberatkan timbangan kita di akhirat kelak. Iulah agaknya antara sebab kenapa menetapkan azam dan matlamat di tahun baru menjadi agenda penting bagi manusia-manusia yang ingin berjaya. Kadang-kadang terfikir juga, apalah penting sangat memiliki azam baru di tahun baru? Tidak bolehkan kita bina saja azam kita pada bila-bila masa yang kita suka, bukan bila kita memasuki tahun baru?

Sebenarnya kalau kita berfikir dengan mendalam, ada kepentingannya kita memiliki azam dan matlamat yang baru apabila tiba tahun baru. Apatah lagi bagi manusia-manusia mukmin yang sangat menjaga kualiti masanya. Berlalunya tempoh setahun dan bermulanya tahun baru umpama satu perhentian bagi manusia dalam perjalanan kehidupannya di dunia yang sementara ini. Di waktu ini dia boleh menilai kembali prestasi dirinya, mengukur kekuatan dan kelemahan dirinya dalam tempoh setahun yang telah berlalu agar dia dapat membina kehidupan yang lebih baik untuk tempoh setahun yang akan datang. Di waktu ini juga dia perlu membuat perancangan kaedah dan strategi yang terbaik untuk memastikan azam dan matlamatnya tercapai. Dan yang paling utama, adakah azam dan malamat yang dibina selari dengan kehendak Allah? Jangan lupa bekalan-bekalan ruhi untuk menjayakan azam tersebut, doa, solat, zikir, saum...

Apa azam tahun baru anda?