Wednesday, January 9, 2013

EVERYTHING GOES WRONG TODAY! (IS IT?)

Ada peristiwa berlaku hari ini, atau lebih spesifik pagi tadi.. Dan rentetan dari itu, feel like everything goes wrong everywhere. Serba tak betul, serba tak kena, serba salah dan serba silap. Begitulah perasaannya. Rasa macam semua perkara yang berlaku tak betul dan tak kena..

Benarkah?? Semua yang berlaku tak betul?

Sebenarnya semua perasaan itu datang kerana kita meyakini apa yang kita rancang itulah yang paling baik, paling betul dan seharusnya berlaku. Bila apa yang kita harap dan fikir tidak berjalan seperti yang kita mahu, kita rasa segalanya seperti serba tak kena,serba silap. Sedangkan Maha Suci Allah dari sifat kelemahan dan kekurangan kerana Dialah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana dalam menentukan kehidupan setiap makhluknya di dunia ini.

Apa saja, saya, anda, dia yang di Algeria, Rusia, New Zealand, haiwan-haiwan di kepulauan Madagascar, ikan dan hidupan di dalam lautan Pacifik malah seluruh alam termasuk galaksi-galaksi yang masih belum mampu dijangkau oleh pengetahuan manusia ini adalah di bawah kekuasaan Allah. Maha Suci Allah dari kesilapan dalam mengurus kehidupan makhluknya.

Rancang, usaha yang terbaik dan bertawakkal pada Allah kerana Dialah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya!




Tuesday, January 8, 2013

SELAMAT BERANGKAT KE ALAM BARU SAUDARAKU,KAMI SEMUA BAKAL MENYUSULIMU..



Islam datang kepada manusia untuk menyempurnakan akhlak. Sungguh orang yang mempunyai akhlak yang baik dan mulia adalah insan yang disukai dan disenangi penduduk bumi dan penduduk langit. Malah akhlak dan iman adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan, ia berkadar terus. Ketinggian akhlak seseorang sangat bergantung kepada keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah. Rasulullah S.A.W sendiri sebagai manusia yang paling tinggi keimanannya kepada Allah, memiliki akhlak yang paling sempurna dan mulia sehingga Allah menganjurkan manusia untuk mencontohi Baginda.
Saya ingin berkongsi cerita tentang kakak saya. Ia lebih kepada pengalaman hidup yang mempunyai iktibar yang boleh dikutip dalam perjalanan kita menuju Yang Esa. Beliau adalah anak kedua dari kami empat beradik, ibu kepada seorang cahayamata berusia 7 tahun. Mungkin beliau bukanlah seorang manusia yang sempurna, namun ada beberapa perkara dalam dirinya yang meninggalkan kesan di hati saya. Antara sifatnya yang paling saya hormati adalah sikapnya yang suka menyambung silaturrahim terutama di kalangan saudara mara. Sikapnya yang mudah mesra dan ikhlas mewujudkan hubungan yang baik di kalangan kaum keluarga yang kadangkala keruh kerana perselisihan faham. Beliau juga seorang yang merendah diri, menyayangi kanak-kanak dan menghormati orang tua.
“Mari sini anak Mak Ngah” itu antara kata-katanya yang selalu diucapkan kepada anak-anak saya sambil memeluk mereka.
Minat dan kemahirannya dalam bidang masakan menjadi antara aset terpenting dalam perniagaan yang diusahakan bersama suami, ibu dan adik saya. Saya tahu bakat memasak, kecekapan, kesungguhan dan komitmennya dalam memajukan kedai makan adalah diwarisi dari ibu kami. 
Mei yang lalu, selama hampir tiga minggu kakak saya terlantar di hospital kerana menghidap penyakit ‘liver cirrhosis’. Ia sejenis penyakit di mana hatinya sudah rosak dan tidak boleh berfungsi, menyebabkan pesakit mengalami kekurangan vitamin A, D, E, dan K. Ini kerana vitamin-vitamin ini yang larut di dalam lemak tidak dapat diserap ke dalam usus dan akan keluar bersama najis. Kegagalan fungsi hati juga menyebabkan berlakunya pengumpulan air yang keluar dari salur darah ke abdomen. Itulah sebabnya kenapa orang yang menghidap penyakit ini perutnya menjadi kembung seperti orang yang sedang mengandung. Mata dan tubuh badannya juga menjadi kuning. Hati yang rosak juga menyebabkan aliran darah ke hati terganggu dan banyak darah terpaksa melalui jalan lain untuk kembali ke jantung.
Kali pertama menziarahi kakak di hospital saya lihat dia masih ceria, sihat dan bertenaga, tidak seperti orang yang sedang menghidap sakit yang kronik. Cuma mata dan tubuh badannya yang kekuningan menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Namun beberapa hari selepas itu tahap kesihatannya semakin menurun. Tubuh badannya semakin lemah malah perutnya kelihatan membesar dan tegang. Keadaan fizikalnya itu menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk duduk dan berjalan, sehingga untuk mengubah posisi dari berbaring kepada duduk pun dia memerlukan bantuan. Malah, ada ketikanya dia tidak mampu untuk bangun dek kerana kesakitan yang dialami di bahagian perutnya. Sewaktu dia terpaksa membuang air kecil melalui tiub, air kencingnya yang berwarna oren kehitam-hitaman menggambarkan kesakitannya saat itu.
Satu hari saya berjumpa dengan doktor pakar yang merawat kakak.
“Sayang sekali kakak awak hanya datang untuk mendapatkan rawatan pada tahap ini. Saya tidak dapat memberi apa-apa jaminan atau harapan tetapi berdasarkan pengalaman saya kakak awak hanya ada paling lama setahun untuk hidup. Peluangnya hanya 30 peratus”
Khabar yang saya terima ternyata amat menyedihkan dan memedihkan. Namun hati saya berkata-kata,
“Itu hanya pandangan seorang manusia. Pergantungan dan harapan saya tetap pada Allah”
Kami sekeluarga tidak berputus asa. Kata-kata semangat dan harapan yang menggunung tinggi sentiasa bermain di bibir sewaktu mendampingi kakak. Kami juga berusaha pelbagai cara untuk merawat penyakitnya.  Islam mengajar manusia untuk berusaha selagi mana rawatan tersebut tidak bertentangan dengan agama. Namun saya amat berhati-hati bila ada yang mengusulkan orang itu dan orang ini yang dikatakan boleh merawat bukan menggunakan perubatan moden, samada secara tradisional atau perubatan Islam.  Mungkin saya agak keterlaluan tetapi saya cenderung untuk melihat keperibadiannya dalam menilai kewibawaannya untuk merawat. Bukan sekadar berkopiah di kepala, menggunakan ayat-ayat Al-Quran, namun saya tetap skeptikal walau sekadar melihat dia merokok kerana bagi saya itu adalah gambaran keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah.   Saya bimbang adanya unsur-unsur syirik kerana itulah sebesar-besar dosa yang sangat dimurkai oleh Allah.
Antara usaha yang kami lakukan selain sentiasa membacakan Al-Quran dan doa-doa, solat hajat dan mengingatkan dan membantu kakak untuk menjaga solat,  kami menyediakan jadual pemakanan yang sihat kerana penyakitnya memerlukan dia mengambil pemakanan yang berzat dan berkhasiat. Saya masih ingat pada setiap pagi saya menyediakan jus batang seleri bersama epal dan pada waktu petang pula saya menyediakan jus lobak putih bersama timun. Rasa dan baunya memang tidak enak malah memualkan, namun saya kagum dengan semangat kakak yang kuat untuk mengikuti jadual tersebut. Buah delima, susu unta, madu, kismis hitam, badam hancur, minyak bawang putih dan minyak kelapa hijau jua adalah antara makanan yang perlu diambil setiap hari. Abah sering menyediakan burung puyuh panggang yang dimakan bersama nasi dari beras basmathi yang ditumis enak. Emak juga rajin menyediakan bubur nasi kerana kakak dinasihatkan untuk mengambil makanan yang lembut.
Sepanjang berada di hospital, perut kakak ditebuk sebanyak tiga kali bertujuan untuk mengeluarkan air yang berlebihan. Setiap kali sakit perutnya datang, kami akan menyapu perutnya dengan air zam-zam atau air biasa sambil membacakan ayat-ayat Al-Quran serta zikir dan doa kerana itulah saja yang mampu kami lakukan. Kata-kata semangat dan positif sering kami ucapkan pada kakak walaupun pada kebanyakan masa saya sendiri terpaksa berpura-pura ke tandas kerana tidak dapat menahan air mata melihat keadaannya yang kian lemah dan tidak berdaya. Kunjungan saudara mara dan rakan yang tidak putus-putus memberi sokongan menggambarkan betapa ramai orang yang menyayangi dan mendoakannya.
Sungguh Allah menyusun perjalanan hidup yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Sehari sebelum cuti persekolahan berakhir, kakak telah diberi cuti oleh pihak hospital dan dibenarkan pulang ke rumah. Setibanya di rumah, tiba-tiba sakitnya menyerang kembali sehingga kami mengambil keputusan menghubungi ambulans untuk membawanya ke hospital semula. Paramedik tiba, namun kakak berkeras tidak mahu dihantar ke sana. Kami berhenti memujuknya apabila dia berkata,
“Tolonglah abang, long, Nana tak mahu pergi ke hospital. Berilah peluang Nana berehat sekejap di rumah. Kalau ditakdirkan Allah nak ambil nyawa Nana, biarlah Nana mati di rumah saja.” Kata-katanya menusuk ke dalam hati saya, kepedihannya begitu terasa hingga saya tidak mampu membendung air mata.
Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Keesokan harinya keadaan kakak lebih baik dari sebelumnya. Dia boleh bangun dan berjalan ke bilik air. Saya dan kakak sempat berbual panjang. Banyak yang kami perkatakan, dari nasihat saya agar berdisiplin dengan ubat, jadual makanan kesihatannya, perancangannya untuk mengambil pembantu rumah, pengalamannya mengharungi ujian sakit, soal anaknya Samrah, hinggalah kepada harapannya agar sembuh dan dapat meraikan hari raya aidilfitri bersama-sama.
“Na, sekarang ni akak sudah tidak ada keinginan terhadap dunia dan harta lagi. Kalaulah nyawa akak panjang, akak cuma ingin berkongsi pengalaman tentang semangat yang perlu ada pada orang yang menghadapi ujian yang sama dengan akak. Kalau boleh janganlah ada saudara mara kita menghidap penyakit yang sama. Sakitnya hanya Allah yang tahu,” Itu adalah antara kata-kata terakhirnya yang masih terngiang-ngiang di telinga saya.
Saya memeluknya erat sebelum bertolak pulang ke Kedah. Hati saya berat untuk pulang namun kehidupan tetap perlu diteruskan. Tidak terlintas di hati saya bahawa itulah pelukan dan sentuhan terakhir saya dengannya ketika dia masih bernyawa.
Kira-kira sebulan lebih selepas keluar dari hospital, kakak akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam 7 Julai 2012 di sisi suami, anak, ibu dan adik saya. Pemergiannya pada usia 36 tahun benar-benar membuatkan kami sedih, namun kami redha Allah lebih menyayanginya. Segala urusan, dari saat-saat menghadapi sakaratul-maut, mandi dan solat jenazah hinggalah kepada urusan pengkebumiaannya yang dipermudahkan menenangkan hati saya bahawa kakak kembali pada Allah dalam keadaan yang paling baik. Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosanya dan mudah-mudahan roh-Nya ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh dan dikasihi Allah. Sungguh benarlah firman Allah:
“Tiap-tiap diri (pasti) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan)”                                                                                                      (Al-Ankabut:57)
Kematian adalah suatu yang pasti. Namakanlah apa saja, haiwan, tumbuhan mahupun manusia, gunung-ganang alam semesta,tiada yang kekal selama-lamanya. Bagi manusia, tidak kira samada anda miskin atau kaya, tua atau muda, sihat atau sakit, sedang menderita ataupun sedang bahagia, kematian pasti menyapa anda bila sudah tiba masanya. Bagi si mati, kematian adalah waktu transit sementara menunggu hari perhitungan dan pembalasan terhadap setiap saat yang telah dilalui sewaktu bergelar insan di dunia. Namun bagi yang masih hidup, kematian insan-insan di sekeliling adalah satu peringatan yang cukup mengesankan bagi mereka yang ingin mengambil pengajaran.  Bahawa bukan mati itu yang menjadi persoalan, tetapi apakah yang kita bawa apabila kita mati untuk kembali pada ‘tuan’ kita setelah dihantar ke dunia bersama amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah pentadbir dunia.
Memang benar, tiada siapa yang dapat menilai keimanan sesorang melainkan Allah S.W.T. Namun, akhlak yang baik akan sangat membekas di hati. Ia buah kepada iman. Saya sendiri merasai pengalaman ini. Pemergian satu-satunya saudara perempuan kandung yang dianugerahkan oleh Allah benar-benar membekas di hati. Sebagai manusia biasa, saya redha dengan ketentuan Ilahi, namun tidak dapat dinafikan kesedihan tetap ada kerana kenangan dan memori bersama sentiasa hidup di dalam hati, menemani hari-hari yang saya lalui. Kenangan-kenangan itulah yang memberi kekuatan pada saya untuk terus berusaha memperbaiki diri menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa.

Sunday, September 26, 2010

DUHAI MATA, ENGKAU MENANGIS LAGI...

Hari ini mata ini menangis lagi... Begitu setia ia bekerja saat emosi menghantar isyaratnya... Engkau memang tidak pernah alpa wahai mata, mengalirkan deruan perasaan empunya diri..
Duhai mata, menangislah dikau saat aku takutkan Tuhanku.. Duhai mata, alirkanlah deruan perasaanku saat daku terkenangkan dosa-dosaku yang tidak mengurang... Duhai mata, biarlah engkau menjadi saksi betapa aku menangisi kesukaranku membangun diri menjadi insan yang dekat dengan Tuhan.. Duhai mata, semoga engkau menjadi air yang akan memadam panas dan seksa api neraka... Duhai mata, tertutuplah engkau sebagai mata yang dipunyai oleh insan yang bersih hatinya. Duhai mata, terbukalah engkau melihat kebenaran Tuhan...

Thursday, September 23, 2010

SIAPA SAHABAT ANDA

Sebelum saya melangkahkan kaki ke universiti, seingat saya, kadang-kadang sahaja saya membaca makna apabila sahaja membaca Al-Quran. Boleh dihitung dengan jari.. Membaca Al-Quran sekadar membaca, mengharap pahala dan keberkatan dari membaca Al-Quran. Sejak kecil, saya, malah anda semua, dekat dengan Al-Quran. Semasa di sekolah menengah (saya bukan bersekolah di sekolah agama), saya pernah mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan musabaqah dan sudah beberapa kali khatam Al-Quran. Malah saya sangat suka, tenang dan damai apabila mendengar bacaan Al-Quran. Masih teringat guru Geografi saya, Cikgu Nik Hassan yang suka membaca Surah Ar-Rahman apabila mengimamkan solat di asrama sekolah kami. Saya memang suka mendengarnya, mendayu-dayu dan menyentuh perasaan, walaupun saya tidak faham apa maknanya.

Setelah mendapat keputusan SPM, saya memohon untuk memasuki universiti. Menurut nasihat guru-guru, pilihan pertama saya adalah UUM memandangkan saya berhasrat melanjutkan pelajaran di bidang perakaunan. Dalam dabaran menunggu panggilan, hari-hari yang saya lalui saya panjatkan doa yang bersungguh-sungguh..

"Ya Allah, makbulkanlah permohonanku untuk memasuki universiti. Ya Allah di sana nanti kurniakanlah daku sahabat yang baik"

Itulah doa saya sehari-hari, penuh pengharapan.. Sungguh, hati saya begitu mengharapkan sahabat-sahabat yang baik yang boleh membimbing saya..

Benar, Allah mendengar doa saya. Saya memohon agar dapat melanjutkan pelajaran, Allah memberi saya universiti pilihan pertama saya, UUM. Saya memohon dikurniakan sahabat yang baik, Allah yang mempertemukan saya dengan sahabat yang soleh. SubhanALlah! AlhamduliLlah!

Dan yang paling penting, saya bertemu sahabat terbaik saya, Al-Quran!

Di bumi UUM inilah saya mula memahami bahawa Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi paling utama ia perlu diamalkan dalam kehidupan. Membaca Al-Quran untuk mengamalkan. Membaca Al-Quran untuk diaplikasikan dan direalisasikan dalam kehidupan. Ia bukan sekadar bait-bait kalimah yang mendayu-dayu, menusuk hati dan membelai jiwa. Al-Quran adalah nadi manusia. Tanpa Al-Quran, manusia adalah jasad-jasad yang bergerak tanpa roh walaupun mereka bernyawa.

Saya pasti setiap dari kita pernah merasakan, betapa saat hati kita resah, gelisah, apa yang dibuat serba tak kena. Kita sendiri tidak tahu apa punca dan sebabnya. Marilah kita sama-sama semak semula, bila kali terakhir kita membaca Al-Quran? Bila kali terakhir kita membaca Al-Quran sehingga ia mampu menyentuh hati kita saat kita membacanya?

Bertanyalah pada diri sendiri...

Tuesday, January 5, 2010

Tahun baru, tahun lalu...

Antara nikmat yang selalu dilupakan oleh manusia ialah nikmat waktu lapang dan nikmat kesihatan. Di waktu lapang, kita tidak sedar masa berlalu begitu sahaja, sedangkan ia boleh diisi dengan amal-amal yang berfaedah, yang akan memberatkan timbangan kita di akhirat kelak. Iulah agaknya antara sebab kenapa menetapkan azam dan matlamat di tahun baru menjadi agenda penting bagi manusia-manusia yang ingin berjaya. Kadang-kadang terfikir juga, apalah penting sangat memiliki azam baru di tahun baru? Tidak bolehkan kita bina saja azam kita pada bila-bila masa yang kita suka, bukan bila kita memasuki tahun baru?

Sebenarnya kalau kita berfikir dengan mendalam, ada kepentingannya kita memiliki azam dan matlamat yang baru apabila tiba tahun baru. Apatah lagi bagi manusia-manusia mukmin yang sangat menjaga kualiti masanya. Berlalunya tempoh setahun dan bermulanya tahun baru umpama satu perhentian bagi manusia dalam perjalanan kehidupannya di dunia yang sementara ini. Di waktu ini dia boleh menilai kembali prestasi dirinya, mengukur kekuatan dan kelemahan dirinya dalam tempoh setahun yang telah berlalu agar dia dapat membina kehidupan yang lebih baik untuk tempoh setahun yang akan datang. Di waktu ini juga dia perlu membuat perancangan kaedah dan strategi yang terbaik untuk memastikan azam dan matlamatnya tercapai. Dan yang paling utama, adakah azam dan malamat yang dibina selari dengan kehendak Allah? Jangan lupa bekalan-bekalan ruhi untuk menjayakan azam tersebut, doa, solat, zikir, saum...

Apa azam tahun baru anda?

Friday, September 4, 2009

Kisah saudara kita...

Penduduk Uighur tidak digalak berpuasa


URUMQI: Pihak berkuasa di wilayah Xinjiang didakwa mengeluarkan notis tidak menggalakkan pekerja Uighur berpuasa di bulan Ramadan.

Langkah juga didakwa diambil pihak berkuasa di wilayah yang menempatkan penduduk Islam etnik Uighur untuk memaksa mereka tidak mematuhi amalan agama ketika Ramadan.

"Makanan tengah hari, teh dan kopi percuma yang disifatkan pihak berkuasa sebagai 'sagu hati daripada kerajaan' atau elaun sara hidup ditawarkan dalam jabatan dan syarikat tempatan.

"Bagaimanapun, ia sebenarnya satu usaha mengenal pasti siapa yang berpuasa," kata Dilxat Raxit, jurucakap Kongres Dunia Uighur kepada The Epoch Times.

Dilxat berkata, pekerja Parti Komunis Uighur di seluruh Xinjiang dipaksa menandatangani surat aku janji tidak berpuasa atau melaksanakan aktiviti agama lain. Mereka juga mengenakan dasar itu di kawasan bertugas dan berhadapan dengan hukuman.

Buat pertama kali, operasi berkenaan diperluas kepada ahli Parti Komunis bersara. Pekerja sedia ada dikehendaki melawat mereka untuk menggalakkan mereka tidak berpuasa. Pemilik restoran juga didakwa diarah membuka perniagaan ketika Ramadan atau lesen perniagaan dibatalkan. - Agensi

Dipetik dari Berita Harian 4 Sept 2009.

* Satu lagi ujian dan cabaran buat umat Islam. Betapa besarnya kebencian orang2 kafir kepada umat Islam sehingga sanggup berbuat apa saja demi menjauhkan umat Islam dari pegangan agama. Semoga Allah memberikan kekuatan dan keteguhan kepada saudara-saudara kita di sana untuk berpegang pada ajaran agama yang suci ini.