Islam datang
kepada manusia untuk menyempurnakan akhlak. Sungguh orang yang mempunyai akhlak
yang baik dan mulia adalah insan yang disukai dan disenangi penduduk bumi dan
penduduk langit. Malah akhlak dan iman adalah dua perkara yang tidak dapat
dipisahkan, ia berkadar terus. Ketinggian akhlak seseorang sangat bergantung
kepada keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah. Rasulullah S.A.W sendiri sebagai
manusia yang paling tinggi keimanannya kepada Allah, memiliki akhlak yang
paling sempurna dan mulia sehingga Allah menganjurkan manusia untuk mencontohi
Baginda.
Saya ingin
berkongsi cerita tentang kakak saya. Ia lebih kepada pengalaman hidup yang
mempunyai iktibar yang boleh dikutip dalam perjalanan kita menuju Yang Esa. Beliau
adalah anak kedua dari kami empat beradik, ibu kepada seorang cahayamata
berusia 7 tahun. Mungkin beliau bukanlah seorang manusia yang sempurna, namun
ada beberapa perkara dalam dirinya yang meninggalkan kesan di hati saya. Antara
sifatnya yang paling saya hormati adalah sikapnya yang suka menyambung
silaturrahim terutama di kalangan saudara mara. Sikapnya yang mudah mesra dan
ikhlas mewujudkan hubungan yang baik di kalangan kaum keluarga yang kadangkala
keruh kerana perselisihan faham. Beliau juga seorang yang merendah diri,
menyayangi kanak-kanak dan menghormati orang tua.
“Mari sini
anak Mak Ngah” itu antara kata-katanya yang selalu diucapkan kepada anak-anak
saya sambil memeluk mereka.
Minat dan
kemahirannya dalam bidang masakan menjadi antara aset terpenting dalam
perniagaan yang diusahakan bersama suami, ibu dan adik saya. Saya tahu bakat
memasak, kecekapan, kesungguhan dan komitmennya dalam memajukan kedai makan
adalah diwarisi dari ibu kami.
Mei yang lalu,
selama hampir tiga minggu kakak saya terlantar di hospital kerana menghidap
penyakit ‘liver cirrhosis’. Ia sejenis penyakit di mana hatinya sudah rosak dan
tidak boleh berfungsi, menyebabkan pesakit mengalami kekurangan vitamin A, D,
E, dan K. Ini kerana vitamin-vitamin ini yang larut di dalam lemak tidak dapat
diserap ke dalam usus dan akan keluar bersama najis. Kegagalan fungsi hati juga
menyebabkan berlakunya pengumpulan air yang keluar dari salur darah ke abdomen.
Itulah sebabnya kenapa orang yang menghidap penyakit ini perutnya menjadi kembung
seperti orang yang sedang mengandung. Mata dan tubuh badannya juga menjadi
kuning. Hati yang rosak juga menyebabkan aliran darah ke hati terganggu dan
banyak darah terpaksa melalui jalan lain untuk kembali ke jantung.
Kali pertama
menziarahi kakak di hospital saya lihat dia masih ceria, sihat dan bertenaga,
tidak seperti orang yang sedang menghidap sakit yang kronik. Cuma mata dan
tubuh badannya yang kekuningan menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena.
Namun beberapa hari selepas itu tahap kesihatannya semakin menurun. Tubuh
badannya semakin lemah malah perutnya kelihatan membesar dan tegang. Keadaan
fizikalnya itu menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk duduk dan berjalan,
sehingga untuk mengubah posisi dari berbaring kepada duduk pun dia memerlukan
bantuan. Malah, ada ketikanya dia tidak mampu untuk bangun dek kerana kesakitan
yang dialami di bahagian perutnya. Sewaktu dia terpaksa membuang air kecil
melalui tiub, air kencingnya yang berwarna oren kehitam-hitaman menggambarkan
kesakitannya saat itu.
Satu hari saya
berjumpa dengan doktor pakar yang merawat kakak.
“Sayang sekali
kakak awak hanya datang untuk mendapatkan rawatan pada tahap ini. Saya tidak
dapat memberi apa-apa jaminan atau harapan tetapi berdasarkan pengalaman saya
kakak awak hanya ada paling lama setahun untuk hidup. Peluangnya hanya 30
peratus”
Khabar yang
saya terima ternyata amat menyedihkan dan memedihkan. Namun hati saya
berkata-kata,
“Itu hanya
pandangan seorang manusia. Pergantungan dan harapan saya tetap pada Allah”
Kami
sekeluarga tidak berputus asa. Kata-kata semangat dan harapan yang menggunung
tinggi sentiasa bermain di bibir sewaktu mendampingi kakak. Kami juga berusaha
pelbagai cara untuk merawat penyakitnya.
Islam mengajar manusia untuk berusaha selagi mana rawatan tersebut tidak
bertentangan dengan agama. Namun saya amat berhati-hati bila ada yang mengusulkan
orang itu dan orang ini yang dikatakan boleh merawat bukan menggunakan
perubatan moden, samada secara tradisional atau perubatan Islam. Mungkin saya agak keterlaluan tetapi saya
cenderung untuk melihat keperibadiannya dalam menilai kewibawaannya untuk
merawat. Bukan sekadar berkopiah di kepala, menggunakan ayat-ayat Al-Quran,
namun saya tetap skeptikal walau sekadar melihat dia merokok kerana bagi saya
itu adalah gambaran keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah. Saya
bimbang adanya unsur-unsur syirik kerana itulah sebesar-besar dosa yang sangat
dimurkai oleh Allah.
Antara usaha
yang kami lakukan selain sentiasa membacakan Al-Quran dan doa-doa, solat hajat
dan mengingatkan dan membantu kakak untuk menjaga solat, kami menyediakan jadual pemakanan yang sihat
kerana penyakitnya memerlukan dia mengambil pemakanan yang berzat dan
berkhasiat. Saya masih ingat pada setiap pagi saya menyediakan jus batang
seleri bersama epal dan pada waktu petang pula saya menyediakan jus lobak putih
bersama timun. Rasa dan baunya memang tidak enak malah memualkan, namun saya
kagum dengan semangat kakak yang kuat untuk mengikuti jadual tersebut. Buah
delima, susu unta, madu, kismis hitam, badam hancur, minyak bawang putih dan
minyak kelapa hijau jua adalah antara makanan yang perlu diambil setiap hari.
Abah sering menyediakan burung puyuh panggang yang dimakan bersama nasi dari
beras basmathi yang ditumis enak. Emak juga rajin menyediakan bubur nasi kerana
kakak dinasihatkan untuk mengambil makanan yang lembut.
Sepanjang
berada di hospital, perut kakak ditebuk sebanyak tiga kali bertujuan untuk
mengeluarkan air yang berlebihan. Setiap kali sakit perutnya datang, kami akan
menyapu perutnya dengan air zam-zam atau air biasa sambil membacakan ayat-ayat
Al-Quran serta zikir dan doa kerana itulah saja yang mampu kami lakukan.
Kata-kata semangat dan positif sering kami ucapkan pada kakak walaupun pada
kebanyakan masa saya sendiri terpaksa berpura-pura ke tandas kerana tidak dapat
menahan air mata melihat keadaannya yang kian lemah dan tidak berdaya.
Kunjungan saudara mara dan rakan yang tidak putus-putus memberi sokongan
menggambarkan betapa ramai orang yang menyayangi dan mendoakannya.
Sungguh Allah
menyusun perjalanan hidup yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Sehari sebelum
cuti persekolahan berakhir, kakak telah diberi cuti oleh pihak hospital dan
dibenarkan pulang ke rumah. Setibanya di rumah, tiba-tiba sakitnya menyerang
kembali sehingga kami mengambil keputusan menghubungi ambulans untuk membawanya
ke hospital semula. Paramedik tiba, namun kakak berkeras tidak mahu dihantar ke
sana. Kami berhenti memujuknya apabila dia berkata,
“Tolonglah
abang, long, Nana tak mahu pergi ke hospital. Berilah peluang Nana berehat
sekejap di rumah. Kalau ditakdirkan Allah nak ambil nyawa Nana, biarlah Nana
mati di rumah saja.” Kata-katanya menusuk ke dalam hati saya, kepedihannya
begitu terasa hingga saya tidak mampu membendung air mata.
Allah Maha
Pengasih dan Penyayang. Keesokan harinya keadaan kakak lebih baik dari
sebelumnya. Dia boleh bangun dan berjalan ke bilik air. Saya dan kakak sempat
berbual panjang. Banyak yang kami perkatakan, dari nasihat saya agar
berdisiplin dengan ubat, jadual makanan kesihatannya, perancangannya untuk
mengambil pembantu rumah, pengalamannya mengharungi ujian sakit, soal anaknya
Samrah, hinggalah kepada harapannya agar sembuh dan dapat meraikan hari raya
aidilfitri bersama-sama.
“Na, sekarang
ni akak sudah tidak ada keinginan terhadap dunia dan harta lagi. Kalaulah nyawa
akak panjang, akak cuma ingin berkongsi pengalaman tentang semangat yang perlu
ada pada orang yang menghadapi ujian yang sama dengan akak. Kalau boleh janganlah
ada saudara mara kita menghidap penyakit yang sama. Sakitnya hanya Allah yang
tahu,” Itu adalah antara kata-kata terakhirnya yang masih terngiang-ngiang di
telinga saya.
Saya
memeluknya erat sebelum bertolak pulang ke Kedah. Hati saya berat untuk pulang
namun kehidupan tetap perlu diteruskan. Tidak terlintas di hati saya bahawa
itulah pelukan dan sentuhan terakhir saya dengannya ketika dia masih bernyawa.
Kira-kira
sebulan lebih selepas keluar dari hospital, kakak akhirnya menghembuskan nafasnya
yang terakhir pada malam 7 Julai 2012 di sisi suami, anak, ibu dan adik saya.
Pemergiannya pada usia 36 tahun benar-benar membuatkan kami sedih, namun kami
redha Allah lebih menyayanginya. Segala urusan, dari saat-saat menghadapi
sakaratul-maut, mandi dan solat jenazah hinggalah kepada urusan
pengkebumiaannya yang dipermudahkan menenangkan hati saya bahawa kakak kembali
pada Allah dalam keadaan yang paling baik. Semoga Allah mengampunkan segala
dosa-dosanya dan mudah-mudahan roh-Nya ditempatkan di kalangan orang-orang yang
soleh dan dikasihi Allah. Sungguh benarlah firman Allah:
“Tiap-tiap diri (pasti) akan merasai mati, kemudian kamu
akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan)” (Al-Ankabut:57)
Kematian
adalah suatu yang pasti. Namakanlah apa saja, haiwan, tumbuhan mahupun manusia,
gunung-ganang alam semesta,tiada yang kekal selama-lamanya. Bagi manusia, tidak
kira samada anda miskin atau kaya, tua atau muda, sihat atau sakit, sedang
menderita ataupun sedang bahagia, kematian pasti menyapa anda bila sudah tiba
masanya. Bagi si mati, kematian adalah waktu transit sementara menunggu hari
perhitungan dan pembalasan terhadap setiap saat yang telah dilalui sewaktu
bergelar insan di dunia. Namun bagi yang masih hidup, kematian insan-insan di
sekeliling adalah satu peringatan yang cukup mengesankan bagi mereka yang ingin
mengambil pengajaran. Bahawa bukan mati
itu yang menjadi persoalan, tetapi apakah yang kita bawa apabila kita mati
untuk kembali pada ‘tuan’ kita setelah dihantar ke dunia bersama amanah dan
tanggungjawab sebagai khalifah pentadbir dunia.
Memang benar,
tiada siapa yang dapat menilai keimanan sesorang melainkan Allah S.W.T. Namun,
akhlak yang baik akan sangat membekas di hati. Ia buah kepada iman. Saya
sendiri merasai pengalaman ini. Pemergian satu-satunya saudara perempuan
kandung yang dianugerahkan oleh Allah benar-benar membekas di hati. Sebagai
manusia biasa, saya redha dengan ketentuan Ilahi, namun tidak dapat dinafikan
kesedihan tetap ada kerana kenangan dan memori bersama sentiasa hidup di dalam
hati, menemani hari-hari yang saya lalui. Kenangan-kenangan itulah yang memberi
kekuatan pada saya untuk terus berusaha memperbaiki diri menjadi hamba Allah
yang beriman dan bertaqwa.
No comments:
Post a Comment