Perbaiki dirimu, dan serulah orang lain...
Wednesday, January 9, 2013
EVERYTHING GOES WRONG TODAY! (IS IT?)
Benarkah?? Semua yang berlaku tak betul?
Sebenarnya semua perasaan itu datang kerana kita meyakini apa yang kita rancang itulah yang paling baik, paling betul dan seharusnya berlaku. Bila apa yang kita harap dan fikir tidak berjalan seperti yang kita mahu, kita rasa segalanya seperti serba tak kena,serba silap. Sedangkan Maha Suci Allah dari sifat kelemahan dan kekurangan kerana Dialah Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana dalam menentukan kehidupan setiap makhluknya di dunia ini.
Apa saja, saya, anda, dia yang di Algeria, Rusia, New Zealand, haiwan-haiwan di kepulauan Madagascar, ikan dan hidupan di dalam lautan Pacifik malah seluruh alam termasuk galaksi-galaksi yang masih belum mampu dijangkau oleh pengetahuan manusia ini adalah di bawah kekuasaan Allah. Maha Suci Allah dari kesilapan dalam mengurus kehidupan makhluknya.
Rancang, usaha yang terbaik dan bertawakkal pada Allah kerana Dialah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya!
Tuesday, January 8, 2013
SELAMAT BERANGKAT KE ALAM BARU SAUDARAKU,KAMI SEMUA BAKAL MENYUSULIMU..
Sunday, September 26, 2010
DUHAI MATA, ENGKAU MENANGIS LAGI...
Duhai mata, menangislah dikau saat aku takutkan Tuhanku.. Duhai mata, alirkanlah deruan perasaanku saat daku terkenangkan dosa-dosaku yang tidak mengurang... Duhai mata, biarlah engkau menjadi saksi betapa aku menangisi kesukaranku membangun diri menjadi insan yang dekat dengan Tuhan.. Duhai mata, semoga engkau menjadi air yang akan memadam panas dan seksa api neraka... Duhai mata, tertutuplah engkau sebagai mata yang dipunyai oleh insan yang bersih hatinya. Duhai mata, terbukalah engkau melihat kebenaran Tuhan...
Thursday, September 23, 2010
SIAPA SAHABAT ANDA
Setelah mendapat keputusan SPM, saya memohon untuk memasuki universiti. Menurut nasihat guru-guru, pilihan pertama saya adalah UUM memandangkan saya berhasrat melanjutkan pelajaran di bidang perakaunan. Dalam dabaran menunggu panggilan, hari-hari yang saya lalui saya panjatkan doa yang bersungguh-sungguh..
"Ya Allah, makbulkanlah permohonanku untuk memasuki universiti. Ya Allah di sana nanti kurniakanlah daku sahabat yang baik"
Itulah doa saya sehari-hari, penuh pengharapan.. Sungguh, hati saya begitu mengharapkan sahabat-sahabat yang baik yang boleh membimbing saya..
Benar, Allah mendengar doa saya. Saya memohon agar dapat melanjutkan pelajaran, Allah memberi saya universiti pilihan pertama saya, UUM. Saya memohon dikurniakan sahabat yang baik, Allah yang mempertemukan saya dengan sahabat yang soleh. SubhanALlah! AlhamduliLlah!
Dan yang paling penting, saya bertemu sahabat terbaik saya, Al-Quran!
Di bumi UUM inilah saya mula memahami bahawa Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi paling utama ia perlu diamalkan dalam kehidupan. Membaca Al-Quran untuk mengamalkan. Membaca Al-Quran untuk diaplikasikan dan direalisasikan dalam kehidupan. Ia bukan sekadar bait-bait kalimah yang mendayu-dayu, menusuk hati dan membelai jiwa. Al-Quran adalah nadi manusia. Tanpa Al-Quran, manusia adalah jasad-jasad yang bergerak tanpa roh walaupun mereka bernyawa.
Saya pasti setiap dari kita pernah merasakan, betapa saat hati kita resah, gelisah, apa yang dibuat serba tak kena. Kita sendiri tidak tahu apa punca dan sebabnya. Marilah kita sama-sama semak semula, bila kali terakhir kita membaca Al-Quran? Bila kali terakhir kita membaca Al-Quran sehingga ia mampu menyentuh hati kita saat kita membacanya?
Bertanyalah pada diri sendiri...
Tuesday, January 5, 2010
Tahun baru, tahun lalu...
Sebenarnya kalau kita berfikir dengan mendalam, ada kepentingannya kita memiliki azam dan matlamat yang baru apabila tiba tahun baru. Apatah lagi bagi manusia-manusia mukmin yang sangat menjaga kualiti masanya. Berlalunya tempoh setahun dan bermulanya tahun baru umpama satu perhentian bagi manusia dalam perjalanan kehidupannya di dunia yang sementara ini. Di waktu ini dia boleh menilai kembali prestasi dirinya, mengukur kekuatan dan kelemahan dirinya dalam tempoh setahun yang telah berlalu agar dia dapat membina kehidupan yang lebih baik untuk tempoh setahun yang akan datang. Di waktu ini juga dia perlu membuat perancangan kaedah dan strategi yang terbaik untuk memastikan azam dan matlamatnya tercapai. Dan yang paling utama, adakah azam dan malamat yang dibina selari dengan kehendak Allah? Jangan lupa bekalan-bekalan ruhi untuk menjayakan azam tersebut, doa, solat, zikir, saum...
Apa azam tahun baru anda?
Friday, September 4, 2009
Kisah saudara kita...
Penduduk Uighur tidak digalak berpuasa
URUMQI: Pihak berkuasa di wilayah Xinjiang didakwa mengeluarkan notis tidak menggalakkan pekerja Uighur berpuasa di bulan Ramadan.
Langkah juga didakwa diambil pihak berkuasa di wilayah yang menempatkan penduduk Islam etnik Uighur untuk memaksa mereka tidak mematuhi amalan agama ketika Ramadan.
"Makanan tengah hari, teh dan kopi percuma yang disifatkan pihak berkuasa sebagai 'sagu hati daripada kerajaan' atau elaun sara hidup ditawarkan dalam jabatan dan syarikat tempatan.
"Bagaimanapun, ia sebenarnya satu usaha mengenal pasti siapa yang berpuasa," kata Dilxat Raxit, jurucakap Kongres Dunia Uighur kepada The Epoch Times.
Dilxat berkata, pekerja Parti Komunis Uighur di seluruh Xinjiang dipaksa menandatangani surat aku janji tidak berpuasa atau melaksanakan aktiviti agama lain. Mereka juga mengenakan dasar itu di kawasan bertugas dan berhadapan dengan hukuman.
Buat pertama kali, operasi berkenaan diperluas kepada ahli Parti Komunis bersara. Pekerja sedia ada dikehendaki melawat mereka untuk menggalakkan mereka tidak berpuasa. Pemilik restoran juga didakwa diarah membuka perniagaan ketika Ramadan atau lesen perniagaan dibatalkan. - Agensi
* Satu lagi ujian dan cabaran buat umat Islam. Betapa besarnya kebencian orang2 kafir kepada umat Islam sehingga sanggup berbuat apa saja demi menjauhkan umat Islam dari pegangan agama. Semoga Allah memberikan kekuatan dan keteguhan kepada saudara-saudara kita di sana untuk berpegang pada ajaran agama yang suci ini.